Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Menguruskan PdPR di zaman pandemik

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Malaysia mula diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020. Dan sekarang, Julai 2021, kita kembali berada dalam PKP.

Entah sampai bila kita perlu berdepan dengan keadaan tidak menentu ini memandangkan kadar jangkitan harian Covid-19 semakin membimbangkan.

Kadar jangkitan di negara jiran juga masih menunjuk peningkatan. Mujurlah program vaksinasi negara untuk mencegah Covid-19 ini sedang digiatkan dan semoga imuniti kelompok dapat dicapai segera.

Sebelum ia tercapai masih ada perkara penting yang harus dilihat iaitu 'kesihatan' sektor pendidikan yang turut terjejas teruk akibat PKP.

Beberapa pelaksanaan yang mengubah perjalanan sistem persekolahan diambil akibat pandemik ini. Antaranya, peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dimansuhkan dan peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dibatalkan untuk tahun ini.

Lebih besar daripada itu, sewaktu PKP dilaksanakan semua pelajar di sekolah rendah dan menengah berada di rumah. Justeru tiada lagi sesi pembelajaran secara bersemuka.

Perkara ini sangat penting untuk dibincang, dikaji dan dicari apakah kaedah terbaik untuk memastikan semua pelajar yang berada di rumah sekarang dapat meneruskan pembelajaran walaupun tanpa hadir ke sekolah.

Belajar secara gabungan

Sejak penutupan sekolah akibat PKP dilaksanakan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan program pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR). Sehingga kini selepas kira-kira 16 bulan, KPM masih belum memutuskan kaedah terbaik untuk PdPR.

Para guru masih lagi bereksperimen mencari kaedah terbaik untuk pelaksanaan PdPR bagi memastikan semua murid tetap belajar di rumah masing-masing.

Pujian patut diberikan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Bharu yang menjalankan analisis tinjauan kesediaan murid dalam pelaksanaan PdPR dengan berkesan. Kajian itu membuktikan pihak KPM melalui PPD Kota Bharu tidak duduk diam bagi mencari solusi terbaik bagi program PdPR.

Kajian itu melibatkan 144 sekolah rendah dan menengah di daerah Kota Bharu. Sampel kes yang menyertai kajian itu melibatkan 43,858 pelajar.

Dapatan kajian menunjukkan, sebanyak 52.9 peratus bersamaan 23,194 orang pelajar memilih bersedia untuk belajar secara gabungan dalam talian. Ia bermaksud menggunakan aplikasi seperti Google Meet, Webex, Zoom atau panggilan video dan pada masa sama menggunakan kaedah luar talian (offline) seperti WhatsApps, modul, buku teks dan lembaran kerja.

Separuh daripada sampel kajian memilih PdPR secara gabungan dalam talian dan luar talian.

Tidak sedikit juga pelajar yang memilih untuk menjalani PdPR secara dalam talian semata-mata iaitu seramai 13,044 orang bersamaan dengan 29.7 peratus.

Jika digabungkan kedua-duanya jumlah pelajar itu adalah 82.6 peratus atau 36,238 orang. Ini menunjukkan sejumlah besar pelajar sedia untuk menjalani PdPR secara dalam talian. Dan pastilah kaedah offline menjadi pelengkapnya.

Pada asasnya, jumlah pelajar yang bersedia untuk pembelajaran secara dalam talian adalah melebihi separuh daripada sampel kajian.

Bersemuka walau di rumah

Dari segi peranti (telefon genggam, tablet atau komputer riba) yang digunakan pelajar pula, seramai 18 839 (43 peratus) menggunakan milik ibu bapa, 18,106 pelajar (41.3 peratus) memiliki peranti sendiri dan 6,455 pelajar (14.7 peratus) yang mempunyai peranti sendiri dan berkongsi dengan adik-beradik.

Jika digabungkan pelajar yang memiliki peranti sendiri dan pelajar yang berkongsi peranti dengan adik-beradik, ia membentuk sebanyak 56 peratus.

Maksudnya, lebih separuh daripada sampel kajian mempunyai peranti sendiri yang tidak mengganggu ibu bapa untuk menjalani PdPR. Peratusan itu pasti saja dapat diperbesar apabila kerajaan memperkenalkan program Telefon Pintar Percuma B40 bagi melicinkan perjalanan PdPR.

Untuk dua perkara yang dinyatakan di atas, berkenaan dengan kaedah perlaksanaan PdPR dan juga peranti, dapat kita rumuskan, separuh daripada sampel kajian bersedia untuk menjalani PdPR secara dalam talian melalui kaedah bersemuka di Google Meet atau pun Webex.

Perkara ini yang harus KPM lihat dan kembangkan pelaksanaannya secara sistematik agar anak-anak tetap belajar secara 'bersemuka' dengan guru walaupun semasa di rumah.

KPM tidak boleh lagi membiarkan anak-anak belajar sendiri setelah membaca arahan di WhatsApps dan menulis nama setelah selesai membuat latihan sendiri tanpa panduan guru.

Membiarkan anak-anak menjawab latihan sendirian tanpa panduan guru mengakibatkan mereka tercicir dari landasan pembelajaran. Keadaan ini membimbangkan semasa kita cuba membina masyarakat intelektual.

Setelah lebih setahun mengharungi PdPR, Google Meet atau Webex adalah solusi terbaik yang kita ada setakat ini. Kaedah ini juga seiring dengan keadaan semasa apabila banyak forum webinar diadakan oleh sektor awam dan swasta sejak pandemik melanda.

Kaedah ini juga mudah digunakan, tidak berbelit-belit dan tidak perlu proses suntingan seperti mahu menghasilkan sebuah video.

Tidak juga perlukan bilik khas untuk menjayakannya. Cukup saja di sebuah lokasi yang sesuai untuk berkomunikasi, mencipta pautan (link) untuk menjemput pelajar hadir ke kelas dalam talian.

Tetapkan masa, seterusnya memulakanlah kelas. Pautan tersebut juga boleh disimpan untuk diguna pada sesi seterusnya. Sungguh mudah.

Video sesi pembelajaran di Google Meet atau Webex juga boleh direkod dan disimpan. Sekiranya ada pelajar yang tidak dapat terlibat pada waktu pembelajaran diadakan, guru boleh memuat naik video PdPR di pelbagai platform seperti di Google Drive atau YouTube dan pelajar boleh melihat video tersebut pada bila-bila masa yang mereka mahu.

Ini juga boleh dijadikan sumber rujukan untuk melakukan ulang kaji pada masa akan datang.

Hal-hal teknikal seperti pertindihan jadual dan lain adalah perkara semasa yang perlu dikemas kini mengikut kesesuaian. Setidak-tidaknya, hasil kajian kesediaan murid dalam pelaksanaan PdPR dengan berkesan itu dapat menunjukkan tahap kesediaan pelajar menjayakan program PdPR.

Tahniah dan terima kasih sekali lagi buat PPD Kota Bharu untuk kajian mereka.


AHMAD DHANI merupakan pemerhati sosioekonomi Kelantan yang kini bergelut mendapatkan sarjana di sebuah universiti awam di utara Malaysia.

Rencana ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.