Skip to main
Logo Malaysiakini

Terpaksa jual 13 ekor lembu selepas jadi punca kematian anak

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Insiden tragis menyebabkan anaknya meninggal dunia akibat diseret lembu memaksa bapa mangsa Raja Hishamuddin Raja Yusuf, 29, melepaskan 13 ekor lembu peliharaannya.

Ia termasuk seekor lembu yang menjadi punca kematian Raja Abdul Wafi, 6, yang maut akibat diseret sejauh 50 meter, dalam kejadian jam 6.40 petang di Kampung Rahmat, Jeli, kelmarin.

"Walaupun kesemua lembu itu sudah dijaga sejak lima tahun lalu selain menjadi sumber pendapatan, saya tidak mampu lagi untuk menjaganya mengenangkan apa yang berlaku pada anak sulung.

"Kejadian berlaku di depan mata saya. Saya menyaksikan bagaimana Abdul Wafi diseret sehingga meninggal dunia.

"Dengan apa yang berlaku itu menyebabkan saya trauma dan tidak mampu lagi menjejakkan kaki ke padang untuk menguruskan kesemua lembu terbabit.

"Saya terpaksa melepaskan dengan menjual kesemua 13 ekor lembu tersebut termasuk lembu kesayangan arwah anak saya," katanya ketika dihubungi media, hari ini.

Malaysiakini semalam melaporkan seorang kanak-kanak meninggal dunia di Hospital Jeli akibat kecederaan parah di kepala berikutan diseret lembu sejauh 50 meter.

Kejadian berlaku ketika mangsa ke lokasi kejadian bersama bapanya untuk mengambil lembu peliharaan mereka.

Macam rakan karib anak

Raja Hishamuddin berkata, lembu yang menjadi punca kematian Abdul Wafi itu merupakan lembu yang jinak dengan anaknya.

"Lembu itu sudah seperti rakan karib anak saya dan menjadi binatang kesayangannya sejak dua tahun lalu.

"Saya tidak sangka ajalnya berakhir disebabkan lembu itu. Setiap petang kami berdua akan bersama-sama ke padang mengambil 13 ekor lembu yang ditambat di lokasi berkenaan kira-kira satu kilometer dari rumah.

"Lembu itu memang menjadi kesayangan anak saya kerana sudah dua tahun kami menjaganya sejak Abdul Wafi berusia empat tahun," katanya.

Tambah Raja Hishamuddin, bagai masih terngiang-ngiang lagi suara anaknya yang meminta dia tidak menjual lembu kesayangannya berusia dua tahun itu.

“Arwah anak saya terlalu sayangkan lembu ini dan hampir setiap hari dia akan bercakap dengan lembu itu seperti bercakap dengan rakan.

"Namun, saya percaya jika kejadian itu berlaku kepada orang lain, mereka juga akan mengambil keputusan sama seperti yang saya akan lakukan.

"Saya berharap ada pihak yang berminat untuk beli lembu-lembu ini," katanya.