Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Kuasa PBT Selangor dalam isu penutupan kilang

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Kenyataan ini dikeluarkan untuk menjelaskan berkaitan kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor terutamanya dalam hal menutup kilang bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Persoalan yang diajukan melibatkan penggunaan peruntukan Akta Kerajaan Tempatan 1976 [Akta 171], khususnya Seksyen 107(2) untuk menutup kilang dengan membatalkan lesen yang dikeluarkan PBT.

Seksyen ini dirujuk seperti berikut:

“Tiap-tiap lesen atau permit yang diberi tertakluk kepada apa-apa syarat dan sekatan yang difikirkan patut oleh PBT dan boleh dibatalkan oleh PBT pada bila-bila masa tanpa memberi apa-apa sebab.”

Walaupun seksyen yang dirujuk seakan-akan memberi kuasa mutlak kepada PBT untuk membatalkan lesen, tindakan pembatalan harus dilakukan mengikut syarat serta parameter yang tertera di dalam lesen pada waktu ianya dikeluarkan, bukannya bersifat arbitrari, dilakukan secara sewenang-wenangnya atau tanpa asas.

Seksyen ini juga tidak menjelaskan berhubung tindakan PBT untuk mengarahkan penutupan kilang.

Lesen pengoperasian kilang yang dikeluarkan oleh PBT adalah seperti yang tertakluk di bawah Akta 171 sahaja dan tidak melibatkan hal ehwal kesihatan berkenaan pencegahan dan kawalan penyakit berjangkit.

Undang-undang kesihatan berkenaan hal itu dikuatkuasakan oleh kerajaan Persekutuan melalui Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342].

Sejak 18 Mac 2020, penentuan tatacara pengendalian piawaian atau SOP yang kita patuhi dikuatkuasakan melalui Akta 342. Ini termasuk perintah kawalan pergerakan (PK) dan PKP diperketatkan (PKPD) yang sedang dilaksanakan di hampir seluruh Selangor.

Masih kuasa kerajaan pusat

Akta 342 memberi kuasa kepada menteri persekutuan melalui seksyen 3(1) untuk melantik pegawai kesihatan atau mana-mana pegawai lain bagi tujuan menguatkuasakan usaha mengawal penularan wabak Covid-19.

Sewaktu PKP kali pertama mulai pada 18 Mac 2020, pegawai-pegawai yang diberi amanah menguatkuasakan peruntukan Akta 342 melalui seksyen 3(1) ialah pegawai polis dan Rela dan bidang kuasa tersebut meliputi penentuan sektor sosial yang dibenarkan, kawalan pergerakan termasuk pergerakan merentas daerah atau negeri, sektor ekonomi dan premis yang boleh beroperasi atau diarahkan tutup, serta proses penentuan kesalahan dan penalti terhadap syarikat atau individu didapati ingkar syarat yang ditetapkan.

Pada 3 Mac lalu, menteri kesihatan dan menteri undang-undang di Jabatan Perdana Menteri meminda Seksyen 2(1) Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) Pindaan 2021 dan memperluaskan pegawai yang terlibat merangkumi badan berkanun dan PBT agar dapat turut menjalankan penguatkuasaan ke atas SOP.

Harus diingatkan pindaan di atas bukan bermaksud PBT mempunyai kuasa untuk menutup kilang. Pindaan itu dibuat bagi membolehkan pegawai kesihatan persekitaran di PBT membantu menjalankan penguatkuasaan SOP dan arahan kerajaan persekutuan.

Kuasa tersebut masih di bawah kerajaan persekutuan.

Setakat ini salah satu usaha penutupan kilang dan pematuhan SOP dilaksanakan di bawah Op Patuh. Operasi tersebut dilaksanakan oleh Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan Pematuhan SOP PKP Covid-19 (JKPS) yang diketuai oleh Kementerian Dalam Negeri.

PBT Selangor hanyalah salah satu anggota jawatankuasa berkenaan.

Berdasarkan laporan Polis Diraja Malaysia, setakat 12 Julai sejumlah 39,604 pemeriksaan dijalankan dalam Op Patuh di Selangor dengan 768 kompaun dikeluarkan dan sebanyak 214 premis termasuk kilang diarah tutup.

Proses pemeriksaan ini akan terus berlaku demi memastikan penularan wabak Covid-19 dapat dikawal sehingga kes menurun agar sistem kesihatan negara tidak terbeban dengan jumlah pesakit yang mendadak.

Kesimpulannya, PBT di Selangor menjalankan tugas secara telus dan bertanggungjawab mengikut parameter undang-undang serta doktrin rule of law (kedaulatan undang-undang) dan fair and equitable treatment (layanan adil dan saksama) melalui peruntukan Akta 342.

Pentadbiran Selangor telah merujuk kepada penasihat undang-undang negeri yang secara prinsipnya menyatakan bahawa pada masa ini, hal perkara mengenai operasi sektor pengilangan dan pembuatan termasuklah semua peraturan membabitkan premis operasi bagi tujuan pengawalan perlakuan yang adil dan saksama-19 adalah tertakluk kepada Akta 342 dan apa-apa arahan serta SOP umum PKP/PKPB/PKPD yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Oleh yang demikian, bagi maksud Akta 342, PBT tidak mempunyai bidang kuasa sama ada untuk membatalkan, menamatkan atau menarik lesen atau kebenaran secara sewenang-wenangya terhadap mana-mana kilang di negeri Selangor.

Kerajaan negeri bersedia melaksanakan tindakan serta dasar yang perlu bagi mencegah penularan wabak Covid-19 dalam batas dan parameter undang-undang yang ada.


NG SZE HAN ialah exco kerajaan tempatan dan pengangkutan awam Selangor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.