Skip to main
Logo Malaysiakini

'Guan Eng arah saya hubungi 2 pengarah syarikat berkaitan projek terowong' - Saksi

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa bekas ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengarahkan seorang exco negeri menghubungi dua pengarah sebuah syarikat berhubung projek terowong bawah laut Pulau Pinang yang kontroversi.

Saksi ketiga pendakwaan, Lim Hock Seng, yang merupakan bekas exco kerajaan negeri Pulau Pinang, memberi keterangan bahawa pada 26 Jan 2011, dia diberi arahan oleh Guan Eng untuk menghubungi Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dan Lee Chee Hoe.

Hock Seng memberi keterangan pada hari ketiga perbicaraan rasuah membabitkan bekas menteri kewangan itu berkaitan projek terowong bawah laut Pulau Pinang.

Zarul dan Lee adalah pengarah eksekutif kanan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, yang merupakan kontraktor utama projek berkenaan. Kedua-duanya adalah saksi utama pendakwaan.

Semasa prosiding di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, Hock Seng memberi keterangan bahawa Guan Eng memberitahunya bahawa ada syarikat berminat untuk mewujudkan MoU (Memorandum Persefahaman) antara syarikat itu dan kerajaan negeri berhubung projek tersebut.

Saksi itu memberitahu hakim Azura Alwi bahawa Guan Eng memberitahunya nama Zarul dan Lee, setelah mesyuarat exco kerajaan negeri di bangunan kerajaan negeri di Komtar, Georgetown, pada 26 Jan 2011.

Hock Seng berkata dia diberitahu oleh Guan Eng bahawa kedua-dua ahli perniagaan tersebut mewakili BUCG (Beijing Urban Construction Group), sebuah syarikat dari China yang berminat dalam projek di pulau itu.

"YB (Yang Berhormat) Lim Guan Eng telah memberi saya nombor telefon Zarul dan Lee Chee Hoe. Saya juga pernah menghubungi Zarul dan Lee Chee Hoe.

"Tujuan saya menghubungi Zarul adalah berkaitan dengan perbincangan mengenai tiga jalan utama dan projek terowong di Pulau Pinang.

"Saya berkenalan dengan Zarul dan Lee Chee Hoe setelah bertemu mereka," katanya ketika membaca keterangan saksi bertulis.

Semasa pemeriksaan utama yang diijalankan timbalan pendakwa raya Nik Haslinie Hashim, Hock Seng menjelaskan bahawa pada awal tahun itu, dia telah mengarahkan pengarah jabatan kejuruteraan Majlis Bandaraya Pulau Pinang untuk menyiapkan kertas kerja mengenai projek itu.

Dia memberitahu mahkamah bahawa semasa mesyuarat exco kerajaan negeri Pulau Pinang pada 16 Mac 2011, dia memberitahu mesyuarat berkenaan bahawa BUCG telah meminta MOU ditandatangani secepat mungkin.

Hock Seng berkata dalam pertemuan itu, Guan Eng mencadangkan agar setiausaha kerajaan negeri, Farizan Darus menandatangani MoU itu bagi pihak kerajaan negeri Pulau Pinang, dan dipersetujui barisan exco kerajaan negeri.

Saksi itu mendakwa bahawa setelah draf MOU diperiksa oleh penasihat undang-undang negeri, dia telah memanggil Farizan dan wakil BUCG ke pejabatnya di Komtar pada 17 Mac 2011, di mana pihak terlibat menandatangani MOU berkenaan.

Dia memberi keterangan bahawa Guan Eng kemudian menghadiri majlis menandatangani MOU itu di Putrajaya pada 28 April tahun yang sama, yang juga disaksikan oleh perdana menteri Malaysia dan China pada masa itu.

Hock Seng memberi keterangan bahawa pada 19 Mei tahun yang sama, Guan Eng juga telah mengarahkannya untuk mempercepat Permintaan Untuk Cadangan (RFP) yang berkaitan dengan projek tersebut.

Sementara itu, Hock Seng memberitahu mahkamah bahwa pada 2 Jun tahun yang sama, barisan exco kerajaan negeri telah memberikan lampu hijau terhadap lawatan lima hari delegasi kerajaan negeri ke Beijing, China, yang berlangsung pada hari itu hingga 8 Jun.

Saksi itu menjelaskan bahawa pengerusi BUCG sebelumnya, melalui surat bertarikh 19 Mei 2011, mengundang Guan Eng dan delegasi kerajaan negeri dalam rombongan itu.

Dia menambah bahawa 10 orang membuat lawatan ke Beijing.

Lim menghadapi empat tuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen.

Mengikut pertuduhan pertama di bawah Seksyen 16 (A) (a) dan Seksyen 23 Akta SPRM, Lim didakwa menggunakan kedudukannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang untuk menerima suapan sebanyak RM3.3 juta sebagai dorongan bagi membantu syarikat milik Zarul untuk melaksanakan projek terowong bawah laut negeri itu bernilai RM6.3 bilion.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, di Tingkat 28, Komtar, George Town, Pulau Pinang, antara Januari 2011 dan Ogos 2017.

Di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM, sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Bagi tuduhan kedua, juga di bawah Seksyen 16 (A) (a), Lim didakwa selaku ketua menteri Pulau Pinang ketika itu, telah meminta suapan dari Zarul sebanyak 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh oleh syarikat itu sebagai penghargaan untuk membantunya menjayakan projek berkenaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan berhampiran The Gardens Hotel, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, Kuala Lumpur, antara jam 12.30 pagi dan 2 pagi pada Mac 2011.

Tuduhan itu yang dibuat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Lim juga menghadapi dua tuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang, dilupuskan kepada dua syarikat yang dikatakan mempunyai kaitan dengan projek terowong bawah laut berkenaan.

Kedua-dua pertuduhan itu, yang dibuat di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan, menetapkan hukuman penjara hingga lima tahun, sebatan dan denda.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar, antara 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Prosiding berakhir awal hari ini

Sementara itu, perbicaraan Guan Eng ditangguhkan lebih awal petang ini dan untuk sementara waktu akan disambung semula esok.

Ini selepas peguam bekas ketua menteri Pulau Pinang itu, Gobind Singh Deo memberitahu mahkamah bahawa dia mempunyai kontak rapat dengan individu positif Covid-19.

Peguam itu, yang merupakan Ahli Parlimen Puchong, berkata dia mendapat panggilan telefon awal hari ini bahawa pembantu kawasan parlimennya positif Covid-19.

Gobind berkata dia berada berdekatan pembantunya tiga hari lalu selama kurang lima minit, ketika melakukan lawatan ke kawasannya untuk mengedarkan bantuan makanan kepada penduduk yang kesusahan akibat perintah kawalan pergerakan.

Peguam itu berkata dia akan menjalani ujian Covid-19 hari ini, dan akan memberitahu mahkamah berhubung keputusannya hari ini.

Azura kemudian membenarkan prosiding petang ini ditangguhkan, dan untuk sementara waktu disambung esok, bergantung kepada keputusan ujian.

"Dengan varian baru (Covid-19) dan (kes baru yang tinggi) angka sekarang sangat membimbangkan.

"Saya mengingatkan semua pihak agar kita mematuhi SOP (prosedur operasi standard untuk mengekang penyebaran Covid-19), oleh itu kita mengehadkan dan membataskan jumlah orang (yang datang ke mahkamah).

"Ini bukan situasi biasa, dengan jumlah (kes harian Covid-19 baru) sekarang, kita harus bertindak tegas.

"Bukan niat saya untuk mengehadkan prosiding kepada sesiapa sahaja. Lebih baik kita berhati-hati, ”kata Azura.

Semasa prosiding hari ini, hanya beberapa DPP dan peguam dibenarkan masuk ke Mahkamah Sesyen, manakala kakitangan media mengikuti prosiding yang disiarkan secara langsung di ruangan berasingan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.