Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Isu doktor kontrak: Kalau hendak akan ada seribu daya

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ketika negara berhadapan saat kritikal menghadapi pandemik Covid-19, nasib kira-kira 23,000 doktor kontrak seakan-akan belum ada sinar penyelesaiannya.

Kita tahu mereka juga adalah sebahagian daripada barisan hadapan yang telah dan sedang bertungkus-lumus ‘berperang’ dengan pandemik di semua fasiliti kesihatan seluruh negara.

Namun masa depan doktor kontrak itu terus terumbang-ambing kerana statusnya yang tidak tetap, skim gaji yang lebih rendah serta tiada kemudahan untuk menyambung pelajaran.

Jika doktor kontrak terbabit ingin menyambung pelajaran, mereka perlu mengeluarkan duit poket sendiri, namun itu bukanlah jaminan bahawa sesudah itu akan diserapkan ke jawatan tetap.

Ketika tenaga mereka ‘diperah’ sama seperti kakitangan berjawatan tetap di satu sisi lain doktor kontrak itu diperlakukan seperti anak tiri.

Bahkan, doktor kontrak juga tiada pencen, tidak layak mendapat flight warrant dan pinjaman perumahan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPA).

Selain itu, mereka turut tidak layak mendapat cuti sama ada cuti tanpa gaji, cuti separa gaji, cuti sakit TB/leprosy/kanser, cuti belajar dan cuti menjaga anak (childcare leave), serta hadiah latihan persekutuan (HLP).

Nilai pengorbanan doktor kontrak

Oleh itu, muncul gerakan Hartal Doktor Kontrak yang menuntut supaya kerajaan menawarkan pelantikan tetap kepada semua pegawai perubatan lantikan kontrak sedia ada, dan memohon penjelasan terperinci kriteria pelantikan tetap.

Jika dua tuntutan ini tidak diselesaikan, doktor-doktor kontrak di seluruh negara akan menjalankan hartal pada 26 Julai ini dengan tidak hadir bertugas tanpa menjejaskan penjagaan kesihatan negara.

Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba, berkata isu pegawai perubatan kontrak yang belum diserap ke jawatan tetap akan dibawa ke mesyuarat kabinet.

"Saya mohon doktor-doktor yang sedia ada dalam skim kontrak supaya bersabar dan bertenang. Kertas kerja telah disiapkan dan kita akan lihat keputusan jemaah menteri nanti," katanya.

Tambah Adham, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan penambahbaikan skim pegawai perubatan kontrak iaitu menaikkan gaji dari gred UD41 kepada UD43 iaitu hampir menyamai gaji pegawai perubatan tetap.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata rayuan doktor kontrak tersebut akan dibincang dengan teliti bersama jemaah menteri memandangkan ia akan membabitkan kos yang tinggi iaitu lebih RM2 bilion kepada kerajaan.

Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Apalah sangat dengan pertambahan RM2 bilion setahun dibandingkan dengan pengorbanan doktor kontrak dan barisan hadapan lain yang sedang berjuang membendung pandemik Covid-19?

Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba

Harapnya kerajaan janganlah berkira sangat dengan RM2 bilion. Walaupun kosnya nampak tinggi, tapi ia berbaloi dengan hasil yang akan diperolehi. Ini melibatkan penjagaan kesihatan awam dan nyawa rakyat bagi jangka masa panjang.

Jika semua doktor ini ‘merajuk’ dan berhenti kerja, apa jadi dengan sistem penjagaan kesihatan negara?

Sumbangan dan peranan doktor kontrak tidak wajar dipinggirkan. Selagi mereka tidak berjawatan tetap, selagi itulah ketidakadilan dan ketidaktentuan akan berlaku terhadap mereka.

Negara kita dicanang sebagai antara negara yang mempunyai rangkaian sistem penjagaan kesihatan terbaik di dunia. Namun, adakah ‘penjaga’ terhadap penjagaan kesihatan di negara kita juga di tahap yang terbaik?

Tepuk dada tanya kerajaan, jangan tanya saya. Saya hanya seorang rakyat yang mengharapkan masa depan yang lebih baik buat sebahagian barisan hadapan yang memperjuangkan haknya.

Saat kita berada di rumah - sama ada berehat, makan atau bekerja - barisan hadapan termasuk doktor-doktor kontrak negara sedang gigih berjuang melawan virus bahaya Covid-19 tanpa henti.

Ayuh kita bersolidariti dan menyokong tuntutan doktor-doktor kontrak. Moga ada sinar buat mereka.


MOHAMMAD HAFIZUDDIN ABDUL MUKTI ialah pegawai penerangan dan perhubungan Pertubuhan Ikram Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.