Skip to main
Logo Malaysiakini

Pusat vaksin Melaka ditutup pada Ahad, ketika hospital makin sesak

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pusat vaksinasi Covid-19 Melaka sebahagian besarnya masih belum beroperasi pada hari Ahad, di tengah laporan kekurangan katil yang serius di Hospital Melaka berikutan peningkatan jangkitan wabak itu.

Ini berlaku di sebalik jaminan menteri yang bertanggungjawab ke atas Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) Covid-19, Khairy Jamaluddin, bahawa pusat vaksin di seluruh negara beroperasi tujuh hari seminggu setelah bekalan vaksin meningkat pada bulan Julai.

Dalam dua hari Ahad pada bulan Julai ini, Melaka hanya mengeluarkan 30 dos pertama vaksin bagi menyelamatkan nyawa, berdasarkan data yang diterbitkan oleh Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF).

Keadaan ini lebih buruk berbanding bulan sebelumnya, apabila hanya 601 dos diberikan pada hari Ahad, kecuali dua minggu terakhir bulan Jun.

Sebaliknya, negeri jiran Negeri Sembilan memberikan 27,791 dos pada empat hari Ahad pada bulan Jun dan dua hari Ahad pada Julai.

Pada hari bekerja, 19 pusat vaksinasi Melaka menguruskan ribuan dos, mencapai lebih daripada 10,000 pada hari Selasa.

Sehingga 13 Julai, 30.1 peratus individu dewasa di Melaka telah menerima dos pertama, manakala 15 peratus telah menerima kedua-dua dos tersebut.

Melaka bukan satu-satunya negeri atau wilayah di mana pusat vaksinasi mengambil cuti hujung minggu sejak awal Pick pada bulan Februari.

Bagaimanapun, ia kini merupakan satu-satunya negeri di mana amalan itu diteruskan walaupun terdapat peningkatan bekalan vaksin pada bulan ini, menurut data CITF.

Penutupan pada hari Ahad di Melaka juga berbeza dengan langkah yang diambil oleh Pick, yang kini mempunyai kadar vaksinasi sekurang-kurangnya 300,000 sehari.

Minggu ini lebih daripada 400,000 dos sehari diberikan di seluruh negara setiap hari.

Ahad lalu, Khairy menerusi media sosial menunjukkan kadar vaksinasi Malaysia mengatasi United Kingdom (UK).

Pada waktu puncak, UK secara purata memberikan 0.89 dos bagi setiap 100 orang, manakala Malaysia sekarang memberikan vaksinasi pada 1.09 dos bagi setiap 100 orang.

Melaka kini antara beberapa negeri yang kini mengalami kadar jangkitan yang tinggi.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah mengatakan kadar kebolehjangkitan di Melaka adalah 1.12, sedikit lebih rendah daripada kadar seluruh negara iaitu 1.14.

Kadar kebolehjangkitan lebih daripada 1 menunjukkan bahawa jangkitan merebak secara mendadak (eksponential).

Minggu lalu, exco kesihatan negeri, Rahmad Mariman berkata sekitar 91 peratus atau 400 katil yang disediakan untuk pesakit Covid-19 di Hospital Melaka telah penuh.

"Hampir sepenuhnya ruang di Hospital Melaka digunakan untuk merawat termasuk semua zon di Jabatan Kecemasan, bilik mesyuarat, stor selain membina khemah di ruang letak ambulans untuk menempatkan pesakit Covid-19," katanya dipetik oleh Bernama.

Dia berkata untuk meringankan beban, sebuah hospital medan angkatan tentera yang boleh menampung sekurang-kurangnya 100 pesakit Covid-19 akan dibina di Hospital Jasin tidak lama lagi.