Laporan: KJ akui menteri langgar SOP 'satu kesilapan'
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin mengakui ada kesilapan dalam aspek teladan oleh pemimpin kerajaan dalam usaha melawan Covid-19 di Malaysia.
Dalam wawancara bersama akhbar Australia, Sydney Morning Herald dan The Age, dia mengakui bahawa berita berkenaan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) oleh menteri telah menjejaskan kewibawaan penguatkuasaan sekatan pergerakan.
Dia yang merupakan menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) turut mengakui pentingnya "kepimpinan melalui teladan".
"Saya fikir dalam soal itu, kita ada buat sedikit kesilapan," katanya seperti dipetik.
Antara pemimpin kerajaan yang didapati melanggar SOP Covid-19 mutakhir ini adalah Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Rashid Hasnon.
Dia juga membangkitkan kesukaran untuk membuatkan orang ramai mematuhi SOP susulan "kelesuan" (fatigue) yang dirasai mereka.
"Tentulah dalam perkara tertentu, kita boleh buat lebih baik.
"Selain itu, selepas beberapa lama, amat sukar untuk membuatkan orang awam patuh (terhadap sekatan) hanya kerana fatigue. Saya bukan salahkan orang ramai.
"Ini kerana (amat sukar) untuk patuh sekatan dan batasan yang sangat tidak natural terhadap pergerakan dan perlakuan anda ini.
"Akhirnya, akan ada masa di mana orang akan melonggarkan langkah berjaga-jaga," katanya lagi.
Walaupun dengan penguatkuasaan sekatan pergerakan penuh sejak 1 Jun, keadaan penularan wabak Covid-19 terutama di Lembah Klang dilihat kian memburuk.
Sejak Selasa lalu, jumlah kes baru yang dilaporkan melangkaui lima angka dan ia terus meningkat sehingga 11,618 kes baru semalam.
Pada masa sama, laporan itu menyatakan Malaysia kini menyaksikan antara kadar vaksinasi terpantas di dunia walaupun ia bermula dengan agak perlahan.
Semalam saja, sebanyak 434,828 dos vaksin telah diberikan.
Membangkitkan kepentingan vaksinasi, Khairy berkata ada negara yang sebelum ini berdepan penularan yang agak buruk, berjaya meredakan keadaan apabila menerima bekalan vaksin Covid-19 lebih awal.
Bagi Malaysia, dia berkata kerajaan telah memutuskan untuk mendapatkan bekalan vaksin daripada pelbagai sumber.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai