Skip to main
Logo Malaysiakini

Tiga sekeluarga disiasat kerana klip video pura-pura bunuh diri

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Polis menjalankan siasatan terhadap rakaman video tular berkaitan tiga sekeluarga yang mencetuskan kegentaran awam dengan berpura-pura bunuh diri.

"Polis mengesahkan telah menerima laporan dan sedang menjalankan siasatan berhubung penularan klip video dengan keterangan 'please don't call me until finish watching'.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mendedahkan kanak-kanak kepada kemungkinan kecederaan fizikal atau emosi," kata Abd Jalil Hassan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah dalam kenyataan media hari ini.

Tambahnya, mereka turut disiasat Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan (Akta 574) dengan niat hendak menyebabkan atau mungkin menyebabkan kegentaran kepada awam dan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (Akta 588) kerana menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian secara tidak wajar.

Terdahulu, klip video berdurasi 16 minit itu memaparkan rakaman tiga sekeluarga yang berpura-pura bunuh diri kononnya kemurungan.

Individu di dalam video tersebut turut mempertikaikan usaha dan menggesa kerajaan agar mengambil tindakan drastik dalam menangani isu pandemik Covid-19 yang telah menyebabkan tekanan serta kemurungan di kalangan rakyat sekali gus menyumbang kepada kes bunuh diri di Malaysia.

Dalam video itu, suspek turut mengakui tindakan yang dibuat merupakan 'role play'. Video tersebut telah mendapat 252 respons, 93 komen, 246 kongsi, dan ditonton sebanyak 6,300 kali sehingga dua hari yang lalu.

Sementara itu, Abd Jalil berkata bahawa tindakan menularkan perlakuan bunuh diri di media sosial boleh mengundang kepada 'copycat suicide' bagi mereka yang berisiko sebagaimana kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

"Polis menasihatkan orang ramai agar akan dan prihatin terhadap isu-isu semasa yang bersifat sensitif.

"Polis turut menggesa orang ramai supaya menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform terbabit sehingga boleh mendatangkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian negara.

"Tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam," tambahnya.