Skip to main
Logo Malaysiakini

Noor Hisham: Kejayaan Labuan tunjuk jalan keluar bagi Lembah Klang

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Dengan lebih daripada 3.1 juta individu di Lembah Klang yang telah menerima dos vaksin Covid-19 pertama mereka, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengatakan kerajaan menyasarkan untuk menyuntik lima juta lagi dengan sekurang-kurangnya dos pertama menjelang 1 Ogos.

Jelas Noor Hisham, ia penting untuk mengurangkan sebilangan besar kes Covid-19 di Lembah Klang.

Noor Hisham menyorot bahawa situasi dua bulan terakhir di Labuan dapat dijadikan iktibar untuk dipelajari.

Jangkitan dan kematian naik mendadak di pulau kecil di Borneo itu sepanjang akhir Mei dan Jun, dengan rekod 1,340 kes baru dalam seminggu.

Vaksinasi di pulau itu kemudian dipercepat dan ketika ini, Labuan telah mencapai 87 peratus vaksinasi dos pertama dan 52 peratus yang lengkap dua dos.

Kata Noor Hisham, susulan itu, kes di Labuan menurun dengan ketara dalam dua hingga tiga minggu, dan Labuan hari ini hanya melaporkan 26 kes.

"Yang penting kita harus meningkatkan vaksinasi. Kita harus menggunakan kaedah ini di Lembah Klang.

"Sebanyak 3.1 juta di Lembah Klang telah menerima dos pertama mereka dan selebihnya lima juta lagi akan diberikan vaksinasi mereka secepat mungkin untuk kita memberikan suntikan kepada semua penduduk Lembah Klang selewat-lewatnya pada 1 Ogos, sekurang-kurangnya dos pertama.

"Dan apabila kita meningkatkan vaksinasi, Insya Allah, kes-kes yang masuk ke hospital akan berkurang," kata Noor Hisham.

Beliau berkata demikian pada sidang media dengan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba hari ini, yang diadakan di Putrajaya dan disiarkan secara langsung dalam talian.

[Baca berita penuh]