Skip to main
Logo Malaysiakini

Kes dera Bella: Mahkamah tolak permohonan polis reman pemilik Rumah Bonda

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Mahkamah menolak permohonan polis untuk menahan reman pengasas dan juga pemilik Rumah Bonda bagi membantu siasatan selepas disyaki terlibat kes penderaan remaja OKU berusia 13 tahun.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan ketika dihubungi berkata suspek yang juga wanita berusia 29 tahun itu dibebaskan selepas Mahkamah Majistret Kuala Lumpur menolak permohonan reman terhadapnya.

"Permohonan (reman terhadap suspek) ditolak dan dia dibebaskan tengah hari tadi," katanya ringkas kepada Malaysiakini .

Menjelaskan lanjut, Siti Kamsiah berkata siasatan kes itu tetap berjalan.

"Siasatan masih diteruskan dan bukan bermakna siasatan terhenti atau ditutup," katanya lagi.

Terdahulu, polis dilaporkan menahan pemilik Rumah Bonda sekitar jam 10.30 pagi semalam bagi membantu siasatan kes mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah.

Suspek diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bagi memberi keterangan susulan beberapa laporan polis yang dibuat terhadapnya dan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyen 506, Kanun Keseksaan iaitu melakukan ugutan jenayah.

Oleh demikian polis mengemukakan permohonan reman ke atas wanita itu pagi tadi di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Media sebelum ini melaporkan remaja kelainan upaya (OKU) Sindrom Down berusia 13 tahun dikenali dengan nama Bella dipercayai didera di sebuah pusat kebajikan milik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di ibu kota.

Mahkamah pada 5 Julai lalu mengeluarkan perintah menyita rumah kebajikan itu yang terletak di Jalan Kukuban di Taman Setapak di Kuala Lumpur.

Berikutan itu, Pelindung Unit Kanak-Kanak, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut mengambil tindakan terhadap enam kanak-kanak dengan mengeluarkan mereka dari rumah kebajikan itu.

Rumah kebajikan ini juga didapati beroperasi secara haram sejak 2019 dan tidak berdaftar dengan JKM.

Kisah menyayat hati itu remaja OKU itu mendapat perhatian seluruh rakyat Malaysia yang rata-ratanya bersimpati dengan nasib Bella dan mewujudkan tanda pagar #justiceforBella di media sosial.

Bella kini ditempatkan di Taman Sinar Harapan Tuanku Ampuan Najihah, Seremban, Negeri Sembilan.