Skip to main
Logo Malaysiakini

Rayuan bantuan kontena mayat Hospital Selayang: JKN S'gor akan respons

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor akan memberi maklum balas dakwaan bahagian forensik Hospital Selayang, Selangor tidak dapat menampung mayat ketika ini susulan peningkatan kes kematian Covid-19.

Jurucakap Kementerian Kesihatan dilapor Utusan Online memaklumkan perkara itu ketika menjawab pertanyaan berhubung dakwaan berkenaan.

“JKN Selangor akan respons (beri maklum balas),” katanya.

Terdahulu, Utusan Online memetik sumber dalaman mendakwa hospital itu kekurangan ruang untuk menampung peningkatan jumlah kematian akibat wabak Covid-19.

Laporan itu juga memetik rayuan memohon kontena mayat.

"Tak ada tempat dah," kata sumber dalaman Hospital Selayang yang enggan dinamakan kepada Utusan Online.

"Kami memohon kontena baru seperti yang diterima oleh Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR). Keadaan sesak di sini ditambah kekurangan kakitangan.

“Difahamkan kontena baru akan sampai pada bulan Disember berikutan tiada peruntukan.

"Bagaimanapun, kalau ada sumbangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mungkin lagi cepat,” katanya.

Sumber itu juga mendakwa unit forensik hospital terpaksa melakukan pelbagai cara termasuk meletakkan dua mayat di dalam satu peti simpanan.

"Pada pagi ini, kita menerima 47 mayat dengan 16 daripadanya bukan Covid-19 diletakkan di dalam peti ais. 

"Selain itu, 24 mayat positif Covid-19 di dalam kontena, peti mayat dan bilik post mortem.

“Ada lagi mayat yang tidak dapat disimpan dalam peti mayat di mana ia diletakkan di atas meja bilik post mortem selain ada yang terpaksa diletakkan di atas lantai berlapikkan kayu pallet,” katanya sambil merayu sumbangan kontena mayat secepat mungkin.