Skip to main
Logo Malaysiakini

Kes pecah amanah lebih RM300 juta: Tiga lelaki termasuk dua beranak ditahan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Polis menahan tiga lelaki termasuk dua beranak bagi membantu siasatan berhubung kes pecah amanah lebih RM300 juta membabitkan sebuah syarikat pelaburan, dalam beberapa siri serbuan di George Town semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang ACP Mohd Rosni Mohd Lazim berkata lelaki berusia 52 tahun dan anaknya berumur 26 tahun serta seorang berusia 29 tahun ditahan secara berasingan di sekitar George Town bermula jam 4.40 petang semalam susulan laporan polis yang dibuat pengarah syarikat tersebut.

"Lelaki berusia 52 tahun itu merupakan ketua pegawai pemasaran di syarikat pelaburan itu manakala anaknya tidak bekerja di situ (syarikat pelaburan) namun dia dipercayai turut terlibat. Seorang lagi yang ditahan merupakan pekerja syarikat sama.

"Berdasarkan siasatan awal, syarikat itu mendakwa mereka gagal mengagihkan hibah kepada sejumlah pelabur syarikat pelaburan tersebut ekoran perbuatan pecah amanah lebih RM300 juta yang dipercayai dilakukan sejak 2017 hingga tahun lepas," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu dan tidak menolak kemungkinan semua suspek menggunakan wang yang sepatutnya diagihkan kepada pelabur untuk kegunaan sendiri.

Mohd Rosni berkata siasatan awal mendapati syarikat pelaburan itu menawarkan keuntungan dalam bentuk hibah sebanyak 10 peratus kepada pelabur yang membeli saham pelaburan forex, perhotelan serta perniagaan kafe mereka.

Menurut beliau mereka yang melabur dalam syarikat itu berusia antara 20 hingga 70 tahun dengan kadar minimum setiap pelaburan berjumlah RM10,000.

"Lelaki berusia 52 tahun itu bukan bergelar Datuk Seri seperti dilaporkan sebelum ini dan tiga mereka kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan. Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan iaitu pecah amanah," katanya.

- Bernama