Skip to main
Logo Malaysiakini

Selepas 6 tahun moratorium, lombong bauksit bakal beroperasi semula

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Enam tahun yang lalu, kerajaan persekutuan menghentikan perlombongan bauksit yang giat berjalan di Kuantan, Pahang.

Ketika itu, media melaporkan berkenaan bagaimana kegiatan itu telah mengubah persekitarannya, termasuk menjadikan kawasan di sekitar "bertukar merah".

Bagaimanapun, moratorium untuk perlombongan bauksit sudah tamat dan sebuah badan milik kerajaan Pahang akan mengendalikan projek baru nanti.

Laporan impak alam sekitar (EIA) bagi projek itu menunjukkan mesyuarat majlis kerajaan negeri pada 12 Mei 2017 setuju untuk mewujudkan "pusat sehenti" melibatkan pelbagai agensi kerajaan negeri untuk melaksanakan operasi perlombongan yang dicadangkan.

Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dilantik untuk mengetuainya. Subsidiarinya, PKNP Mineral Industries Sdn Bhd akan menjadi pemegang amanah untuk menyelaraskan operasi dan BG Mining Sdn Bhd sebagai operati perlombongan.

Cadangan tapak perlombongan itu, yang meliputi kawasan seluas 3,642.176 hektar (boleh memuatkan kira-kira 6,806 padang bola sepak) terletak di Bukit Goh dan Bukit Kuantan, kira-kira 20 kilometer daripada bandar Kuantan.

(Peta ini berdasarkan koordinat yang dinyatakan dalam laporan EIA. Ia mungkin tidak menunjukkan keluasan sebenar tapak tersebut).

Dijangka sejumlah 170,000 tan bauksit akan dilombong setiap bulan, dengan jangkaan tiga tahun lapan bulan untuk kawasan itu selesai dilombong.

Pameran awam laporan EIA bermula pada 22 Jun lalu dan dijadual sehingga 21 Julai.

Disediakan oleh KenEp Consultancy And Services, laporan itu menyatakan ada tiga kerisauan utama berhubung cadangan tersebut, iaitu pencemaran sungai, kehilangan hidupan fauna dan habitatnya dan pencemaran terhadap keadaan kehidupan setempat.

Risiko pencemaran sungai ketika hujan lebat

Laporan itu menyatakan syarikat perlombongan mencadangkan dua kawasan pembendungan amang (bahan sampingan daripada aktiviti perlombongan). Setiap satu akan memiliki empat bahagian untuk menyimpan bahan tersebut untuk mengelakkannya dilepaskan ke sungai.

Bagaimanapun, tetap ada risiko untuk pencemaran sungai.

Laporan EIA memberi amaran jika berlaku hujan lebat atau kecuaian manusia, buangan lombong boleh masuk ke dalam sungai. Akibatnya, kawasan hilir Sungai Pahang akan dicemari dengan aluminium.

Dengan Empangan Sungai Kobat dan beberapa loji rawatan air yang terletak di kawasan hilir Sungai Kuantan, ia memberi amaran yang "kegiatan perlombongan berisiko mencemarkan sumber air minum".

Bagi menganalisis "kemungkinan terburuk", sampel air diambil daripada tujuh lokasi sepanjang Sungai Kuantan, Sungai Riau dan Sungai Mabuk pada 2018.

Daripada itu, EIA membuat simulasi dan menganggarkan kesan sisa bauksit terhadap mutu air apabila ia dilepaskan.

Menurut Indeks Kualiti Air, jika terdapat 0.5mg aluminium dalam seliter air, ia akan diklasifikasikan dalam Kategori 4, iaitu hanya untuk kegunaan pengairan.

Laporan itu mendapati, Sungai Kuantan dan Sungai Riau memiliki kepekatan aluminium yang tinggi (1.72mg/L secara purata, berdasarkan keputusan sampel air).

Simulasinya mendapati jika kedua-dua kawasan pembendungan amang melepasi kapasiti, kepekatan aluminium di Sungai Riau akan meningkat sebanyak 0.38mg/L, tetapi apabila alirannya bertemu dengan Sungai Pahang, ia akan berkurang dan menghampiri tahap sebelum perlombongan.

Bagaimanapun, laporan itu mengakui yang rancangan perlombongan akan menjejaskan lagi mutu air di hulu Sungai Kuantan.

Salah satu kaedah mitigasi yang dicadangkan EIA adalah dengan operasi lombong mengguna pakai had buangan yang lebih ketat (tahap aluminium 1mg/L), berbanding piawaian oleh Jabatan Mineral dan Geosains (tahap aluminium 10mg/L).

Selain aluminium, laporan itu juga menjangka logam berat yang lain seperti besi, raksa, kadmium, plumbum, nikel dan mangan juga akan masuk ke sungai.

Ia menjangka akan berlaku sedikit peningkatan bahan logam berat dekat tempat pelepasan di Sungai Riau, tetapi ia akan berkurang setelah aliran bergabung dengan Sungai Kuantan.

Perlu dinyatakan yang sumber air Kuantan tercemar akibat bahan logam berat ini ketika kegiatan perlombongan bauksit pertama kali dilaksanakan.

Pada November 2015, Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh memetik laporan Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang mendedahkan empat sungai di Kuantan tercemar teruk dengan raksa. Dia berpandangan ia disebabkan pencemaran yang berpunca daripada perlombongan bauksit.

Empat sungai yang tercemar itu terletak berhampiran dengan tapak lombong Bukit Goh.

Sebelum itu, New Straits Times melakukan ujian pada ikan dari Pantai Pengorak dan Sungai Pengorak dan mendapati sampel yang diambil mengandungi arsenik dan nikel pada tahap yang tinggi.


Bauksit: 'Godaan jadi jutawan segera'


Kemudian, menteri sumber asli dan alam sekitar ketika itu, Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengesahkan kegiatan melombong bauksit telah membawa kepada pelbagai pencemaran alam sekitar.

Kajian JAS juga mendapati tahap aluminium, kadmium, besi, plumbum, kromium dan mangan juga melebihi had yang dibenarkan.

Pendedahan kepada logam berat boleh mengancam kesihatan. Misalnya, pendedahan pada aluminium di tahap tinggi boleh menyebabkan penyakit berkaitan tulang, Alzheimer dan penyakit berkaitan otak lain.

Pendedahan terhadap arsenik pula meningkatkan risiko kanser. Manakala keracunan raksa boleh menyebabkan kerosakan pada otak, buah pinggang, paru-paru dan malah boleh membawa maut.

Kecuaian ketika fasa pelaksanaan

Laporan EIA juga memberi amaran walaupun jika fasiliti tapak projek berfungsi dengan baik, kecuaian manusia - seperti pembuangan sisa air atau pepejal secara haram dan kebocoran minyak atau bahan berbahaya yang lain - boleh menjejaskan mutu air.

Ia mencadangkan pelan respons kecemasan disediakan bagi mengurangkan risiko kemerosotan mutu air. Jika berlaku limpahan pada takungan, syarikat perlu segera memaklumkan kepada pengguna hiliran agar tidak menggunakan air untuk kegunaan sendiri (consumption).

Ancaman terhadap habitat

Kerisauan kedua yang dibangkitkan adalah kehilangan hidupan fauna dan habitatnya, serta hidupan liar terancam menjadi mangsa buruan dan mati dilanggar kenderaan.

Malah kawasan hutan simpan yang bersempadan dengan tapak lombong yang dicadangkan juga berdepan risiko pencerobohan haram.

Untuk itu, EIA mencadangkan pembinaan pagar bagi menutup kawasan itu.

Walaupun kawasan hutan simpan itu secara relatifnya kecil dan terpecah, didapati kawasan hutan dan ladang kelapa sawit dalam kawasan lombong yang dicadangkan tetap mempunyai hidupan liar dan fauna yang pelbagai dengan banyak spesis mamalia dan burung yang dilindungi.

Menurutnya, pemisahan habitat jelas pada tapak tersebut memandangkan kegiatan melombong sebelum ini juga tidak mengikut pemfasaan yang seragam tetapi dibuat secara terpecah.

Ia mengingatkan projek yang dicadangkan ini akan memburukkan lagi masalah ini jika kaedah sama diguna pakai.

Ini kerana beberapa pemilik lot tanah masih di tahap rundingan dan belum meluluskan tanah milik mereka untuk perlombongan, menurut laporan itu.

Ancaman terhadap hidupan liar yang dilindungi

Akibat daripada kehilangan habitat dan kawasan yang kian terpisah, hidupan liar di sana akan berdepan persaingan dan konflik kerana kapasiti habitat yang berkurang.

EIA menjangka ia akan menyebabkan ada hidupan liar yang cedera dan mati dan akhirnya membawa kepada kehilangan fauna.

Apabila hidupan liar kehilangan habitat, konflik antara manusia dan hidupan liar akan berlaku di tapak lombong dan kawasan Felda yang berhampiran.

Menurut laporan itu, haiwan seperti monyet ekor panjang, monyet ekor babi, babi hutan dan musang - yang banyak di sana - akan mencuri makanan dan menyebabkan gangguan dan kerosakan.

Selain itu, apabila pembersihan tanah dan perlombongan dijalankan, hidupan liar bersaiz sederhana atau kecil dan bergerak perlahan, dan yang aktif pada waktu malam atau tinggal di pokok yang memiliki anak mungkin tidak dapat melarikan diri.


Soalan lazim: Bauksit dari A sampai Z


Hidupan ini juga berdepan risiko dilanggar kenderaan di jalan raya jika masuk ke kawasan lebuh raya berdekatan.

Bagi mengelakkan perkara ini, laporan EIA mencadangkan kerja melombong patut bermula daripada lebuh raya dan jalan raya. Selain itu, pagar yang dilengkapi papan tanda juga perlu dipasang sebagai peringatan kepada pengguna jalan raya.

Laporan itu juga membangkitkan kebimbangan pekerja dan orang luar memburu dan mengganggu hidupan liar.

"Mereka malah mungkin ambil haiwan ini untuk dijual atau dijadikan peliharaan," katanya.

Justeru, ia mencadangkan agar operator lombong meletakkan papan tanda untuk mengingatkan kontraktor dan pekerja bahawa kegiatan memburu dan memiliki hidupan liar adalah dilarang, dan kesalahan itu perlu dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Satu lagi langkah yang dicadangkan adalah sesi perbincangan pengurusan berkenaan hidupan liar setiap hari bersama-sama pegawai bertanggungjawab. Pegawai ini akan membantu menyelamatkan atau memindahkan hidupan liar jika perlu, dengan kos ditanggung operator lombong.

Kesan debu dan bunyi kepada penduduk

Kebimbangan utama ketiga yang disebut laporan EIA adalah berkaitan kesihatan dan kehidupan orang yang tinggal dekat dengan tapak tersebut. Ia menjangka projek itu akan menyebabkan pencemaran bunyi dan debu.

"Kemungkinan pencemaran udara menjadi signifikan di lombong kerana bijih akan menjalani proses pembersihan," katanya.

Bagaimanapun, kadar jirim zarahan iaitu PM10 dan PM2.5 (PM - particulate matter) adalah pada kadar yang diterima dan kesan kepada mutu udara adalah kecil dengan pelaksanaan langkah kawalan.

Jirim zarahan adalah jumlah semua zarah pejal dan cecair yang terkandung di udara - yang kebanyakannya berbahaya.

Langkah yang dicadangkan termasuk menyembur air secara kerap di jalan tak berturap dan menutup stok dengan bahan kedap bagi mengelakkan pencemaran udara.

Menurut laporan itu, setelah satu tempoh apabila lombong beroperasi sepenuhnya), jika ada pencemaran debu yang tinggi pada daun dan pokok di kawasan sekitar, ini bermakna pelaksanaan projek gagal membuat persediaan untuk alam sekitar di situ.

Ia juga menyatakan yang debu atau PM ada kaitan dengan masalah pernafasan seperti terjejasnya fungsi paru-paru, batuk, asma dan kanser paru-paru.

Malaysiakini berkunjung ke Felda Bukit Goh pada 2015. Ketika itu penduduk merungut berkenaan kawasan mereka yang dipenuhi debu dan kanak-kanak mengalami masalah pernafasan dan kulit.

Selain itu, pokok buah dan kelapa sawit juga musnah setelah dilitupi debu.

Menurut statistik Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan, jangkitan saluran pernafasan atas (upper respiratory tract infection atau URTI) menjadi masalah kesihatan lazim di kalangan penduduk Bukit Goh.

Angka ini menurun dengan drastik selepas kerajaan mengumumkan moratorium pada 2016, iaitu daripada 5,124 kes pada tahun tersebut kepada 2,597 kes (2017) dan 2,520 kes (2018).

Pada masa sama, penduduk di Felda Bukit Goh juga dijangka perlu menghadapi pencemaran bunyi sehingga 102 decibel (dB), yang boleh merosakkan pendengaran.

Menurut laporan EIA, sukar untuk menghalang pencemaran bunyi di kawasan sekitar.

Pandangan berbeza responden

Pihak utama dalam cadangan projek perlombongan ini adalah PKNP, badan kerajaan negeri yang memberi tumpuan kepada pembangunan sosial dan ekonomi di pedalaman Pahang.

Sesi dialog awam dengan pemegang taruh telah dilakukan pada November 2018.

Wakil daripada PKNP, BG Mining dan beberapa agensi kerajaan negeri hadir ke sesi tersebut yang diadakan di Felda Bukit Goh.

Menurut laporan EIA, kebanyakan penduduk di situ dan Felda Bukit Kuantan serta mereka yang tinggal dalam 500 meter radius daripada tapak tersebut setuju dengan projek tersebut.

Bagaimanapun, tinjauan yang dibuat EIA mendapati mereka yang tinggal agak jauh daripada tapak yang dicadangkan kurang tahu berkenaan perkara itu. Majoriti responden membantah projek itu kerana merasakan ia tidak membawa manfaat.

Tinjauan itu dilakukan dengan 390 responden yang dipilih secara rawak dalam lingkungan radius lima kilometer daripada tapak projek serta pengguna jalan raya di laluan yang digunakan bagi membawa bahan bauksit ke Pelabuhan Kemaman.

Antara sebab yang diberikan oleh mereka yang tidak bersetuju adalah kesesakan lalu lintas dan peningkatan kenderaan berat di jalan raya, kesan terhadap nelayan kerana hilang tempat mencari ikan, kesan terhadap struktur sungai di Kuantan, kemerosotan mutu alam sekitar dan kesan terhadap mereka yang terlibat dalam sektor pelancongan di situ.

Malaysiakini telah menghubungi PKNP untuk mendapatkan maklum balas berkenaan perkara ini.

[Baca berita asal]