Skip to main
Logo Malaysiakini

'Cemburu' pada negara luar buat Pak Isa gigih bela Sungai Ulu Benut

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sungai merupakan aset yang tidak ternilai kerana ia memberi pengaruh yang sangat besar dalam kehidupan seharian manusia sejak zaman-berzaman.

Sama ada sebagai sumber yang menyediakan makanan, sistem pengangkutan atau selainnya, sungai sentiasa signifikan kepada kita.

Barangkali itu kesedaran yang ada pada mantan ketua kampung Sungai Ulu Benut yang gigih menabur jasanya untuk sungai sebelum dapat melihat hasilnya.

Isa Chek, 53 yang mesra membahasakan dirinya sebagai Pak Isa berkata dia berasa terpanggil untuk memastikan kebersihan Sungai Ulu Benut terjaga setelah melihat pencemaran di situ berlaku selama bertahun-tahun.

Bukan itu sahaja, dia juga dipertanggungjawabkan untuk memastikan air sungai tersebut selamat digunakan oleh semua penduduk.

Pak Isa memberitahu Malaysiakini, dia suka bercerita dan mengimpikan sesuatu yang besar, justeru puas apabila impiannya tercapai walaupun sering dipandang sinis dan ditertawakan orang yang kurang memahami.

“Saya suka baca di surat khabar dan lihat negara luar yang mempunyai sungai jernih dan cantik seperti London, namun saya tidak mempunyai wang untuk ke sana.

"Lalu saya bertanya: kenapa kampung saya tak boleh jadi macam negara luar?" katanya.

Bantu selesai masalah penduduk

Menurut Pak Isa dia dan isterinya selalu naik turun pelbagai pejabat untuk melaporkan isu pencemaran air Sungai Ulu Benut kerana menyedari air dari situ akhirnya akan masuk ke perut, justeru perlu diberi perhatian yang serius.

Katanya air dari sungai berkenaan merupakan sumber air yang sangat penting memandangkan penduduk di Simpang Renggam juga menggunakan sumber air yang sama.

“Pada suatu hari, saya lihat banyak ikan mati di sungai, anak saya ambil gambar dan saya hantar gambar tersebut kepada Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik.

“Ada orang kata pencemaran kotor datang dari reban ayam tapi apabila disiasat oleh pasukan Maszlee, ia merupakan sisa pembuangan sampah di Renggam yang disebabkan ban pecah lalu memasuki parit-parit kecil yang melalui Sungai Ulu Benut ke Sungai Machang, tempat terletaknya loji penapisan air Simpang Renggam," katanya.

Pencemaran itu, kata Pak Isa, kemudian disampaikan ke pihak istana di Johor.

Dia memberitahu itu merupakan titik tolak Sultan Johor bertindak pantas membantu penduduk Ulu Benut daripada masalah sungai yang sangat teruk.

“Pada Okt 2019, saya didatangi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Delima, yang mencadangkan program melestarikan sungai dengan masyarakat dijalankan dan dilancarkan exco Johor," katanya.

Rentetan daripada program itu Kampung Ulu Benut diiktiraf sebagai destinasi pelancongan oleh kerajaan Johor.

Dari sehari ke sehari, semakin ramai pelancong datang ke Kampung Ulu Benut. Antara lain kesan program santai sambil makan durian anjuran Persatuan Media Johor.

Pak Isa turut memberitahu Kampung Ulu Benut menerima dana sebanyak RM40,000 daripada Pertubuhan Rentas Sempadan bagi membangunkan sektor ekonomi, pendidikan dan kesihatan di kampung tersebut.

“Saya suka menggalakkan penduduk di sini terlibat dalam perniagaan.

"Saya juga ada berniaga beberapa produk tradisional seperti baulu, dodol, kek lapis, kek kukus buah dan beberapa kuih sejuk beku.

"Cuma sekarang saya sibuk mengusahakan dodol durian kerana sedang musimnya," kata Pak Isa.

Untuk masa mendatang dia bercadang menggunakan dana daripada perniagaan itu untuk bangunkan kios di pesisiran Sungai Ulu Benut selain menyediakan khidmat sewaan pancing dan berbasikal kepada pelancong.

Selepas 10 tahun dan diuji pelbagai rintangan, impian Pak Isa semakin hampir menjadi kenyataan apabila kira-kira 70 peratus sudah berjaya dilaksanakan.

Cuma dia mengakui, masih banyak yang perlu dilakukan dan ia memerlukan kesabaran yang tinggi.