Skip to main
Logo Malaysiakini

Loke gesa KJ perluas Operasi Lonjakan Kapasiti ke N Sembilan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke menggesa Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin memperluaskan Operasi Lonjakan Kapasiti (OSC) ke Negeri Sembilan.

Ini memandangkan Negeri Sembilan merupakan antara tiga negeri teratas yang mencatatkan kes positif Covid-19 tertinggi bersama Selangor dan Kuala Lumpur.

"Sebagai Ahli Parlimen Rembau yang merupakan kawasan dalam Negeri Sembilan, saya yakin beliau juga amat memahami keadaan di Negeri Sembilan dan merasai kebimbangan rakyat diwakilinya.

"Pendekatan kerjasama erat di antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dalam meningkatkan kadar vaksinasi seperti yang dilihat di Selangor patut dilaksanakan juga di Negeri Sembilan.

"Saya yakin Kerajaan Negeri Sembilan akan memberikan kerjasama yang sepenuhnya dalam usaha tersebut," katanya dalam kenyataan semalam.

Negeri Sembilan mencatatkan lebih 1,000 kes Covid-19 selama lima hari berturut-turut dengan jumlah keseluruhan sebanyak 7,072 kes dalam tempoh berkenaan.

Inisiatif OSC diumumkan ahli parlimen Rembau itu pada 16 Julai lalu yang bertujuan memastikan setiap warga Selangor dan Wilayah Persekutuan yang berumur 18 tahun ke atas menerima sekurang-kurangnya 1 dos vaksin menjelang 1 Ogos ini.

Selain itu, Loke juga menyeru Khairy membenarkan semua warga emas yang berumur 60 tahun ke atas di Negeri Sembilan mendapat suntikan vaksin secara “walk in” seperti yang dilaksanakan di Lembah Klang.

Dia berkata ini kerana Lembah Klang dan Negeri Sembilan menyumbang hampir 60 peratus daripada kes keseluruhan Covid-19 dan operasi bersepadu dapat membantu menurunkan angka Covid-19 di seluruh negara.