Skip to main
Logo Malaysiakini

Adun gesa utamakan pemberian vaksin kepada penghantar makanan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Adun Semambu Lee Chean Chung menggesa kerajaan Pahang agar mengutamakan pemberian vaksin kepada penghantar makanan yang juga merupakan petugas barisan depan.

Lee berkata, cadangan itu selepas menerima surat daripada sebuah syarikat penghantaran makanan di situ yang menyuarakan kebimbangan apabila pekerjanya belum divaksin.

"Saya telah menulis surat kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pahang supaya vaksinasi penghantar makanan diutamakan," kata Adun PKR itu dalam hantaran di Facebook hari ini.

"Mereka adalah petugas barisan depan. Setiap hari puluhan pekerja syarikat ini menghantar kira-kira 400 hingga 500 pesanan di seluruh Kuantan," katanya lagi.

Terdahulu, Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh turut menggesa langkah segera diambil untuk vaksinasi terhadap pemandu e-hailing dan penghantar barang dan makanan.

Pada 24 Jun lalu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata pekerja sektor pengangkutan, termasuk penghantar barang, makanan dan pemandu e-hailing, akan menerima vaksin bermula bulan ini.

Minggu lalu, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong mengumumkan kerajaan sudah mula menyelaraskan vaksinasi untuk kumpulan itu, melibatkan kumpulan pertama kira-kira 50,000 individu.

Menurut Wee, pihaknya telah menerima senarai nama daripada syarikat terlibat pada pertengahan Jun lalu.

Dalam pada itu, Lee turut mendakwa masih ramai penduduk Kuantan yang belum mendapat tarikh temu janji vaksinasi mereka.

"Ada yang telah daftar sejak Februari, ada yang berusia lebih 60 tahun.

"Adakah Kuantan yang dikuatkuasakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) tidak (dipandang) serius oleh mereka?" soalnya.

Setakat 17 Julai lalu, sebanyak 72.8 peratus penduduk dewasa Kuantan telah mendaftar untuk vaksinasi tetapi hanya 18.7 peratus daripadanya yang telah menerima dos pertama.