Skip to main
Logo Malaysiakini

MMA: Vaksinasi meningkat tapi bagaimana dengan warga asing tanpa dokumen?

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berpandangan negara masih ketinggalan dalam usaha vaksinasi untuk warga asing tanpa dokumen.

Ia di sebalik pengumuman kerajaan semalam yang menyasarkan untuk memberi vaksin kepada seluruh golongan dewasa menjelang Oktober ini.

"Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) telah bertindak dengan baik dalam meningkatkan kadar vaksinasi. Bagaimanapun, kita masih jauh ketinggalan dalam soal vaksinasi warga asing tanpa dokumen," kata Presiden MMA Dr Subramaniam Muniandy dalam kenytaan hari ini.

Dengan anggaran terdapat dua hingga tiga juga kumpulan itu di seluruh negara - yang kebanyakannya bekerja dalam sektor pembinaan, pembuatan dan perladangan, dia berkata mereka diklasifikasikan sebagai kumpulan berisiko tinggi ekoran keadaan kehidupan seharian mereka.

Membangkitkan varian Covid-19 yang boleh merebak lebih cepat dan mudah, dia berkata ratusan warga asing tanpa dokumen boleh dijangkiti jika seorang daripada mereka disahkan positif dengan varian tersebut.

Ia akan terus menambahkan beban para petugas kesihatan di hospital jika hal itu terjad, katanya lagi.

"Umum mengetahui yang jangkitan Covid-19 berlaku di kalangan pekerja migran kerana keadaan tempat tinggal mereka, maka penyelesaian paling praktikal adalah vaksinasi," katanya.

Justeru, dia menggesa kerajaan mengadakan libat urus dengan kedutaan asing yang terbabit serta NGO hak asasi manusia dalam usaha vaksinasi kumpulan itu.

Selaun itu, katanya lagi, mereka juga perlu diberi jaminan bahawa tidak akan dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa selepas tampi ke depan untuk menerima vaksin.

Dia mencadangkan program pengampunan warga asing tanpa dokumen diadakan sekali lagi, selain mendapatkan kerjasama daripada pihak majikan.

"Sememangnya penguatkuasaan adalah penting dalam isu kemasukan secara haram, tetapi kita ddi dalam krisis di mana usaha vaksinasi penduduk adalah lebih penting," katanya lagi.

Pada 16 Julai lalu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) Khairy Jamaluddin berkata Kementerian Dalam Negeri akan membentangkan kertas kabinet pada minggu ini, untuk membuat keputusan berhubung pelan bagi vaksinasi warga asing tanpa dokumen, termasuk pelarian.