Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis siasat kes lelaki maki hamun kerana ditegur tak pakai pelitup muka

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Polis sedang menyiasat seorang lelaki yang membuat kecoh dengan memaki hamun setelah dia ditegur kerana tidak memakai pelitup muka.

Polis mengesahkan telah menerima laporan polis mengenai kejadian yang berlaku di sebuah gerai nasi lemak di sepanjang Jalan Desa Bakti di Kuala Lumpur.

Video kejadian 29 saat itu tular di media sosial sebelum ini.

Dalam video tersebut, lelaki yang tidak memakai pelitup muka itu dilihat memaki pelanggan lain di gerai nasi lemak berkenaan.

"What you want to do? Call polis ah? Call lah f ** ker (Nak buat apa? Panggil polis? Panggil lah)," katanya.

Seorang pelanggan dilihat cuba menenangkan lelaki itu dengan berkata: "it's okay, it's okay (tak apa, tak apa)".

Namun lelaki itu meninggikan suara dan memaki pelanggan itu.

"F ** ker you want to kena this morning? Sunday morning you want to kena whack ah? (Kau nak kena pukul pagi Ahad ni?)".

Pelanggan itu, penjual nasi lemak dan anak perempuannya dilihat memakai pelitup muka.

Tidak memakai pelitup muka di khalayak ramai adalah kesalahan di bawah peraturan sekatan Covid-19 ketika ini.

 

Polis mengatakan kejadian itu disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit. (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan) 2021 kerana melanggar prosedur operasi standard ( SOP) Covid-19.

Di bawah undang-undang itu, lelaki itu boleh dikenakan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Laporan polis dibuat oleh anak perempuan penjual nasi lemak itu.

Video itu dirakam oleh seorang individu lain yang memberikan salinan kepada pemilik gerai nasi lemak.

"Suspek dalam video ini dilihat memarahi dan memaki hamun ibu pengadu dan seorang pelanggan lain apabila ditegur tidak mematuhi SOP kerana tidak memakai pelitup muka di tempat awam," kata Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields Basri Sagoni.

Basri meminta orang ramai untuk tidak membuat spekulasi mengenai video tersebut.

Dia juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu untuk tampil. Talian polis Brickfields adalah 03-22979222.