'Tengku Zafrul boleh menang Lembah Pantai jika jadi calon Umno' - Raja Nong Chik
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berpeluang untuk menang di kerusi Parlimen Lembah Pantai pada PRU15 tetapi dengan syarat, kata pemimpin Umno Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.
Dia dipetik Utusan Online berkata demikian ketika ditanya mengenai desas-desus Tengku Zafrul bertanding di Lembah Pantai.
Menjelaskan syarat itu, Raja Nong Chik berkata senator itu boleh menang jika dia bertanding sebagai calon Umno.
“Tengku Zafrul ada peluang untuk menang jika beliau mewakili Umno dan Barisan Nasional (BN).
"Beliau memang orang Lembah Pantai, ibu bapanya pernah duduk di Bangsar dan beliau pun membesar di sana.
"Tetapi kalau nak bertanding, bertandinglah sebagai calon BN dan bukan Perikatan Nasional (PN),” katanya.
Raja Nong Chik (gambar, bawah) memimpin Bahagian Umno Lembah Pantai dan bertanding di kerusi parlimen itu dua kali pada PRU13 dan PRU14 tetapi tewas kepada wakil PKR Nurul Izzah Anwar pada 2013 serta Fahmi Fadzil pada 2018.
Pun begitu, Raja Nong Chik dipetik Utusan Online berkata hanya Umno sahaja yang boleh merampas kembali kerusi Lembah Pantai jika parti itu dapat menghadapi pilihan raya umum bersama PAS dalam Muafakat Nasional (MN).
“Dengan MN, peluang untuk Umno menang lebih cerah. PAS pun mempunyai jentera yang kuat di Lembah Pantai. Tetapi kalau nak sokong PN ada risikonya, Umno kena buat keputusan apa arah tuju parti.
“Kalau PAS sokong Umno, peluang lebih cerah. Kalau tidak, peluang nak rampas balik kurang sikit.
"Kalau parti tidak kuat, kenalah bekerjasama supaya negara lebih stabil. Jangan biar tak tentu arah,” katanya.
Nong Chik yang juga bekas menteri Wilayah Persekutuan menjelaskan jika ada calon lain yang berkebolehan, dia tidak bercadang untuk bertanding untuk kali ketiga di parlimen Lembah Pantai kerana mahu memberikan laluan kepada calon lebih muda dan berkelayakan.
Katanya lagi, calon berkenaan mestilah berasal dari Lembah Pantai yang dikenali dan faham kawasan parlimen itu.
Pada 11 Julai lalu, Zafrul kelihatan di sebuah masjid di Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur untuk mengagihkan bantuan.
Kehadirannya itu menarik perhatian Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, yang bertanya jika dia sedang membuat persiapan untuk bertanding di kawasan Parlimen Lembah Pantai dalam PRU akan datang.
"Wow Tengku Zafrul nak jadi calon di Lembah Pantai ke?" soalnya secara mengusik di Twitter.
Sejak diwujudkan pada 1984, kerusi Parlimen Lembah Pantai secara tradisinya disandang Umno sehinggalah PRU12 apabila Nurul Izzah Anwar daripada PKR membuat kemunculan pertama dalam pilihan raya, mengalahkan Shahrizat Abdul Jalil, penyandang kerusi itu selama tiga penggal.
Awal tahun ini, Ketua Umno Lembah Pantai Ramlan Askolani menolak khabar angin Tengku Zafrul akan menjadi calon di situ.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai