Skip to main
Logo Malaysiakini

PTPTN bantu lapan beradik yatim piatu akibat Covid-19

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kisah sedih yang menimpa lapan beradik yang menjadi yatim piatu dalam tempoh berselang sehari akibat Covid-19 menarik perhatian Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang tampil menghulurkan bantuan.

Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan, berkata bantuan segera itu akan diberikan melalui skuad PTPTN Prihatin hari ini.

"Saya sedih mendengar musibah yang melanda lapan beradik yang menjadi yatim piatu akibat Covid-19.

"Saya telah mengarahkan pegawai PTPTN memberikan bantuan yang sesuai hari ini juga," katanya dalam kenyataan dimuat naik di Facebook.

Wan Saiful yang juga ketua penerangan Bersatu itu memberitahu bebanan yang ditanggung oleh anak yatim piatu berkenaan adalah tanggungjawab semua pihak.

Sebagai pengerusi PTPTN, kata Wan Saiful, dia meluluskan peruntukan kewangan segera yang akan disampaikan oleh pegawai agensi itu secepat mungkin.

Mengulas lanjut, dia berkata PTPTN juga akan melihat jika ada sumbangan lain yang sesuai dihulurkan kepada lapan beradik berkenaan.

"Saya difahamkan anak sulung keluarga ini merupakan pelajar politeknik manakala tujuh adik-adik juga masih belajar.

"Jadi, PTPTN akan periksa dahulu bentuk sumbangan yang sesuai dan saya rasa demi masa depan mereka, adalah baik jika kita berikan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) untuk anak-anak ini.

"Saya tahu bantuan yang disalurkan ini tidak akan dapat menggantikan ibu bapa yang telah pergi meninggalkan mereka tetapi kita sama-sama doakan agar sedikit pembelaan ini dapat membantu meringankan bebanan yang ditanggung dan semoga mereka dapat menempuh ujian getir yang mereka lalui dengan sabar," tambahnya.

Malaysiakini baru-baru ini melaporkan bagaimana Nazurah Nabilah Yajeed, 19, serta adik-adiknya menjadi yatim piatu dalam tempoh singkat apabila bapanya menghembus nafas terakhir pada 16 Julai.

Pada 18 Julai ibu mereka pula meninggal dunia. Kedua-dua mereka disahkan menjadi korban Covid-19.

Adik-adik Nazurah berusia antara 18 hingga empat tahun.