Skip to main
Logo Malaysiakini

Vaksin: Pekerja kilang dakwa dipaksa ambil cuti tahunan, tak berbayar

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Selangor dan Wilayah Persekutuan menerima aduan bahawa sebuah kilang di Shah Alam didakwa memaksa kira-kira 1,000 pekerjanya mengambil cuti tahunan atau cuti tanpa gaji bagi mendapatkan vaksin di bawah Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam Swasta (Pikas).

“Hari ini (22 Julai) syarikat itu iystihar sebagai hari vaksinasi dan cuti wajib bagi pekerja mereka untuk menerima vaksin yang telah ditetapkan di Pusat Konvensyen Setia City di Shah Alam.

"Namun, ini bercanggah dengan syarat yang ditetapkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Azmin Ali bahawa tiada kerugian ditanggung pekerja semasa Program Pikas," kata MTUC Selangor dan Wilayah Persekutuan dalam kenyataan hari ini .

Tangkapan layar yang dilihat Malaysiakini menunjukkan e-mel automatik  dihantar majikan yang menyatakan permohonan cuti dihantar pekerja pada hari mereka menerima vaksin.

“Majikan ini juga didapati memanipulasi, dengan secara automatik memotong cuti dalam sistem dan beritahu pekerja bahawa cuti berkenaan telah diluluskan, seolah-olah pekerja yang memohon, ” kata kenyataan itu.

Malaysiakini telah cuba menghubungi kilang tersebut untuk mendapatkan respons.

Sementara itu, MTUC juga mengatakan mereka telah menerima aduan daripada pekerja mengenai pemeriksaan rawak terhadap telefon bimbit mereka, manakala sejarah pergerakan mereka turut disiasat yang didakwa bagi tujuan pemantauan Covid-19.

MTUC berkata memadai bagi pekerja menunjukkkan imbasan MySejahtera dan  'status' (berisiko tinggi atau rendah) pada aplikasi tersebut.

"Sekiranya alasan mereka adalah untuk mengawasi (pekerja mereka) maka tindakan mereka sangat tidak wajar kerana dilakukan secara selektif, bukan menyeluruh," katanya.

Mereka mengingatkan majikan bahawa melihat data pada aplikasi MySejahtera pekerja bukan di bawah bidang kuasa majikan.

Mereka menambah majikan boleh "memantau" pekerja tanpa melanggar hak dan privasi pekerja dengan memastikan mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti mengimbas suhu badan, memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.

Sehubungan itu, MTUC menggesa Kementerian Sumber Manusia menyiasat perkara ini untuk menghentikan majikan daripada bersikap melampau dan memastikan cuti diberikan secara adil di bawah program Pikas.