Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Tiada halangan pertimbang RCI Jabatan Peguam Negara jika perlu’

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kerajaan tiada halangan untuk mempertimbangkan langkah mewujudkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi mengkaji cadangan pemisahan kuasa Jabatan Peguam Negara (AGC), kata menteri undang-undang Takiyuddin Hassan.

“Kerajaan juga tiada halangan mempertimbangkan langkah mewujudkan suruhanjaya siasatan diraja sekiranya ada keperluan berdasarkan fakta, undang-undang dan juga langkah-langkah pihak pihak tertentu yang boleh menimbulkan persoalan integriti dan keyakinan terhadap badan perundangan yang sepatutnya bertindak sebagai penasihat kepada kerajaan dalam aspek perundangan serta penjaga kepada keadilan jenayah,” katanya.

Azalina Othman Said 

Anggota parlimen Pengerang merangkap timbalan speaker Azalina Othman Said tengah hari tadi menggesa kerajaan membentuk RCI bagi mengkaji pemisahan kuasa AGC.

Menyifatkan AGC sebagai “super-agency”, bekas peguam itu menuntut pemisahan empat peranannya - penasihat undang-undang kerajaan, pendakwa raya awam, pengurus mahkamah rendah dan pendraf undang-undang.

Katanya, tiga tugas pertama itu mewujudkan percanggahan kepentingan yang boleh menjejaskan kedaulatan undang-undang dan mewujudkan pendakwaan terpilih atau keadaan bebas hukuman.

Tanpa menghiraukan lanjut, katanya, perkembangan semasa semakin mengurangkan kepercayaan orang ramai terhadap AGC.

Dalam kenyataan ringkas sebentar tadi, Takiyuddin berkata kerajaan sentiasa terbuka dan bersedia memelihara integriti serta kepercayaan awam terhadap badan perundangan termasuk AGC.

Katanya, kerajaan telah memulakan perancangan ke arah memisahkan fungsi peguam negara dan pendakwa raya bagi menjamin keadilan dan keluhuran undang-undang serta mengelakkan percanggahan kepentingan.

“Perkara ini akan ditambah baik melalui kajian perbandingan dengan negara-negara lain namun dengan kesesuaian sistem perundangan di negara ini,” katanya.