Skip to main
Logo Malaysiakini

Sabah diberi keutamaan terima vaksin dos tunggal CanSino

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sabah akan diberi keutamaan untuk menerima vaksin Covid-19 dos tunggal CanSino, apabila bekalan tiga juta dos vaksin itu diterima Malaysia, dijadualkan pada bulan depan (Ogos).

Jabatan Ketua Menteri Sabah dalam kenyataan hari ini memberitahu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin memberi jaminan itu kepada Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor, dalam perbincangan kedua-kedua pemimpin secara dalam talian hari ini.

“Ia (vaksin dos tunggal) juga penting bagi kita agar dapat menjangkau masyarakat di kawasan pedalaman dan pulau-pulau terpencil, yang mana mobiliti mereka terkesan oleh keadaan muka bumi yang agak sukar dan jauh,” kata Khairy.

Hajiji berkata, sehingga kini sebanyak 177 pusat pemberian vaksin (PPV) telah dibuka di seluruh negeri dan dengan program vaksinasi jangkauan luar dan program Vaksinasi Medic Tentera Darat, negeri ini berada pada landasan terbaik bagi memastikan lebih ramai rakyatnya menerima vaksin.

Mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan atas semua kerjasama yang diberikan kepada Sabah dalam program vaksinasi, Hajiji menyambut baik jaminan Khairy terhadap negeri itu yang berdepan kekangan bekalan vaksin ketika ini.

Sementara itu Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah Dr Rose Nani Mudin menjelaskan bahawa PPV Integrasi pertama Sabah akan memulakan operasi minggu depan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

“PPV Integrasi akan memberi vaksin secara percuma dan membenarkan hospital swasta membantu untuk mempercepatkan proses vaksinasi, sekali gus mengurangkan beban yang dihadapi hospital awam ketika ini,” katanya.

Turut hadir dalam perbincangan maya itu ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Shahelmey Yahya, Penasihat Khas kepada Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam Dr Jemilah Mahmood, dan Timbalan Panglima Tentera Darat Lt Jen Mohammad Ab Rahman.

- Bernama