Skip to main
Logo Malaysiakini

Menteri muda nafi sindiket bekal dadah percuma pada pelajar sekolah di S'wak

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Sarawak Francis Harden Hollis hari ini menjelaskan tidak sindiket yang membekalkan dadah secara percuma kepada pelajar di negeri ini, sebaliknya apa yang diperkatakan beliau Rabu lepas mengenai perkara itu adalah merujuk kepada negeri lain.

Beliau berkata maklumat yang dikongsikannya semasa sidang media bagi membentangkan laporan berkala One Stop Committee (OSC) bagi Menangani Isu Dadah dan Substance (MIDS) Sarawak pada hari berkenaan telah disalah tafsir.

“Saya ingin menjelaskan bahawa tidak ada 'sindiket’ yang membekalkan dadah secara percuma kepada pelajar di Sarawak. Perkara yang dinyatakan sidang media berkenaan adalah (kegiatan pengedaran dadah) berlaku di negeri lain,” kata beliau yang juga Timbalan Pengerusi OSC Sarawak dalam satu kenyataan.

Menurutnya rujukan beliau kepada apa yang berlaku di negeri lain itu bertujuan mengingatkan supaya hal yang sama tidak berlaku di Sarawak dan beliau menyeru semua pihak agar terus bekerjasama dalam membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah dan substance di negeri ini.

Rabu lepas dalam liputan mengenai OSC MIDS Bernama melaporkan Francis sebagai berkata ada sindiket yang mengedar dadah secara percuma kepada pelajar sekolah sebagai taktik bagi memerangkap mereka agar terjebak menjadi penagih.

- Bernama