Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis buka kertas siasatan kes timbalan speaker didakwa ingkar SOP

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Polis membuka kertas siasatan terhadap Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon berkaitan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) selepas gambarnya yang sedang makan di sebuah ladang pertanian di Rengit, dekat Batu Pahat, tular melalui media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata pihaknya akan memanggil Ahli Parlimen Batu Pahat itu untuk diambil keterangan bersama dua wanita, difahamkan merupakan isteri dan anaknya yang turut kelihatan di dalam gambar itu selain pemilik ladang berkenaan.

“Kita akan panggil mereka untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan di bawah Peraturan 18 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai isu pelanggaran SOP oleh Mohd Rashid dalam sidang media di Johor Bahru hari ini.

Ketika ditanya mengenai perkembangan video tular berkumpul makan durian di sebuah kebun di daerah sama yang turut melibatkan Mohd Rashid, beliau berkata kertas siasatan mengenainya telah dihantar ke Pejabat Peguam Negara pada 14 Julai lepas.

Pada masa sama, kes video tular melibatkan sekumpulan individu makan durian yang dipercayai melibatkan petugas-petugas kesihatan di pusat pemberian vaksin di bandar raya ini juga telah dibuka kertas siasatan, katanya.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.