Skip to main
Logo Malaysiakini

Komisen syarikat penghantaran makanan terlalu tinggi, pemimpin MCA beri amaran boikot

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seorang pemimpin MCA mempertimbangkan untuk memobilisasi kempen boikot terhadap platform penghantaran makanan yang disifatkan mengambil komisen berlebihan jika kerajaan gagal mengambil tindakan berhubung perkara itu dalam satu bulan.

Pada sidang media maya hari ini, jurucakap "Kempen untuk melindungi hak pemandu e-hailing", Ng Kian Nam, mendesak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk mengehadkan komisen sebanyak 15 peratus.

Sebilangan besar platform mengambil bayaran sehingga 35 peratus sebagai komisen.

Ng juga mendesak kementerian untuk memutuskan sama ada platform penghantaran makanan sedia ada melanggar Akta Perlindungan Pengguna 1999 atau tidak.

Kedua-dua tuntutan itu, katanya, disampaikan kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi melalui e-mel hari ini.

E-mel tersebut dikirimkan dengan kapasiti Ng sebagai Ketua Biro Kempen Masyarakat Sivik.

Untuk rekod, MCA adalah sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional walaupun tidak menjadi anggota gabungan PN.

"Jika kami tidak menerima respons positif dari kementerian dalam waktu yang sewajarnya, kami akan mempertimbangkan siri kempen kesedaran di lapangan, termasuk kempen boikot yang melibatkan pengguna dan pengusaha makanan dan minuman," kata Ng.

Dia mengatakan bahawa pengguna dan pengusaha kedai makan boleh memboikot pada hari-hari tertentu platform penghantaran makanan yang mengambil komisen yang berlebihan.

"Seksyen 4 dan 5 Akta Perlindungan Pengguna memberikan kuasa mutlak kepada menteri untuk menetapkan harga siling," katanya.

Ketika ditanya apakah boikot itu akan digerakkan oleh MCA, dia berkata, "Siapa yang akan mengatur boikot itu tidak penting."

"Boikot boleh diatur di bawah biro kempen masyarakat sivik (MCA) dan persatuan yang berkaitan," katanya.

"Menteri sedar akan isu ini (komisen berlebihan) yang dihadapi oleh pengusaha makanan dan minuman lebih satu tahun yang lalu," katanya.

Cadangan Ng bahawa komisen perlu pada tahap yang lebih rendah adalah berdasarkan model AS, di mana platform penghantaran makanan di sana mengambil 15 peratus sebagai komisen untuk pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan.

Dilaporkan bahawa had 15 peratus akan melarang syarikat penghantaran makanan pihak ketiga mengenakan yuran penghantaran lebih daripada 10 peratus daripada harga pembelian pesanan dalam talian dari restoran di AS.

Ng mengatakan bahawa di Malaysia, beberapa platform penghantaran mengenakan harga dua kali ganda, atau bahkan tiga kali ganda, kepada pengguna.

"Ini dapat dilihat dalam beberapa menu makanan (dimuat di aplikasi). Keluarga yang terdiri daripada lima orang yang memesan mee untuk sarapan, nasi kandar untuk makan tengah hari dan nasi vegetarian untuk makan malam mungkin terpaksa mengeluarkan RM340 sehari dan ini akan diterjemahkan menjadi RM10,200 perbelanjaan sebulan.

"Ini jelas menunjukkan bahawa hanya kumpulan 20 teratas yang mampu menggunakan perkhidmatan sedemikian di Malaysia," katanya.

"Caj ini merangkumi kos iklan dan bayaran komisen yang dikenakan kepada restoran yang tidak ditunjukkan dalam invois yang dikeluarkan oleh platform penghantaran makanan kepada pengguna," katanya

"Bayaran penghantaran mungkin juga tidak sesuai dengan jumlah sebenar yang dibayar kepada penghantar makanan," katanya.

"Menurut kontrak baru yang dikeluarkan oleh platform penhantaran makanan, syarikat mempunyai budi bicara mutlak untuk menetapkan kadar komisen bagi penghantar mereka," tambah Ng.

Dia menegaskan komisen untuk penhantar makanan sama sekali tidak telus, tidak seperti komisen yang dijelaskan dalam perjanjian yang ditandatangani dengan pengusaha restoran.