Skip to main
Logo Malaysiakini

Pemilik kedai emas agih 1.2 tan durian percuma cara pandu lalu

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seorang pemilik kedai emas mengambil inisiatif mengagihkan sebanyak 1.2 tan pelbagai jenis durian termasuk durian kampung, Musang King dan Tok Litok secara pandu lalu kepada pengguna jalan raya di Pasir Pekan di Kota Bharu hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MZ Gold Murtadhatumizi Mustapha berkata agihan secara percuma itu diberikan kepada sekitar 500 hingga 700 pengguna jalan raya dengan setiap penerima mendapat dua atau tiga biji durian bergantung kepada saiz buah berkenaan.

“Idea untuk mengagihkan durian secara percuma ini kerana harga durian di pasaran agak tinggi… Jadi timbul di hati saya untuk berkongsi sedikit dengan orang ramai terutamanya bagi mereka yang terjejas pendapatan ketika tempoh pandemik Covid-19 ini.

“Mungkin ada antara kita yang teringin untuk menikmati durian, namun tidak mampu... Oleh itu, dengan adanya sumbangan ini sekurang-kurangnya ia dapat memenuhi hasrat mereka yang tidak berkemampuan,” katanya ketika ditemui pemberita di Pasir Pekan, di Kota Bharu hari ini.

Murtadhatumizi berkata bekalan durian berkenaan yang diperoleh daripada tujuh pembekal di sekitar Dabong, Kuala Krai itu membabitkan pembelian mencecah RM7,000 sekali gus membantu pembekal yang buntu memasarkan hasil mereka dan mengelak berlaku lambakan durian kerana raja buah itu mudah rosak.

“Insya-Allah, inisiatif agihan buah durian secara percuma ini akan diperluaskan ke kawasan lain di sekitar Kota Bharu sekiranya terdapat bekalan,” katanya.

Seorang penerima, Ahmad Farid Awang Rani, 37, dari Kampung Bharu, Pasir Pekan berkata kali terakhir beliau membeli buah durian sekitar dua minggu lepas yang berharga RM7 sekilogram.

“Sumbangan durian secara percuma ini sekurang-kurangnya dapat ‘menggembirakan’ hati penerima yang tidak berkemampuan. Malah, sebagai pemandu lori saya hanya mampu membeli buah durian ketika ada wang lebih untuk dinikmati bersama keluarga,” kata bapa kepada empat orang anak itu.

- Bernama