Skip to main
Logo Malaysiakini

Ratusan hadir vaksinasi MP Kuala Langat di Jenjarom

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ratusan penduduk Jenjarom berkerumun tampil di dewan yang terletak di perkarangan di Tokong Ban Siew Keng yang dijadikan pusat pemberian vaksin (PPV) oleh Ahli Parlimen Kuala Langat Dr Xavier Jayakumar, awal pagi ini.

Beberapa video yang dikongsi di media sosial menunjukkan barisan panjang di luar bangunan tokong yang terdiri daripada individu daripada semua peringkat umur.

Ketika dihubungi, Xavier mengatakan langkah sewajarnya telah diambil untuk mengawal orang ramai, yang antaranya hadir beberapa jam sebelum pintu dibuka pada pukul 9 pagi.

Xavier berkata, penduduk Kuala Langat yang tinggal dalam jarak 10km dari tokong itu, berusia di atas 18 tahun, tetapi belum menerima janji vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera mereka dibenarkan hadir di PPV itu.

"Ada yang datang sejak jam 6 pagi untuk menjadi penerima pertama. Oleh itu, kami mengambil 500 orang (untuk divaksin).

"Selepas itu kami memberitahu orang di luar tokong kami akan memberikan kupon untuk 100 janji pertama esok," katanya kepada Malaysiakini.

Katanya, PPV itu beroperasi dengan kerjasama pejabat kesihatan daerah dan individu yang divaksin berdasarkan yang tiba dahulu.

Keseluruhan 3,500 individu akan diberi suntikan vaksin Sinovac pertama mereka selama tujuh hari akan datang dengan kadar 500 dos sehari.

Beberapa video yang disiarkan di media sosial menunjukkan orang ramai beratur panjang menunggu peluang mereka untuk diberi vaksin, yang kemudian mencetuskan kebimbangan mengenai kurangnya langkah penjarakan fizikal.

Sejak jam 9 pagi ini, Xavier mengatakan pasukannya telah mengenal pasti 500 orang menjadi penerima pertama, yang akan dibahagikan kepada lima kumpulan kecil yang terdiri daripada 100 penerima setiap jam.

"Kami menempatkan 100 orang di dalam dewan untuk vaksinasi dan kami meminta yang lain pulang dahulu dengan slip dan nombor untuk datang kemudian pada waktu yang sewajarnya.

"Kami bermula pada pukul 9 pagi, kumpulan kedua pada pukul 10 pagi dan terakhir pada 1 petang. Jadi mereka mempunyai masa untuk pulang dan kembali semula," katanya.

Xavier mengatakan 100 lagi penerima akan diberikan kupon untuk menjadi kumpulan pertama yang disuntik pada keesokan harinya.

Mengulas kebimbangan yang timbul mengenai kerumunan orang ramai, Xavier mengatakan kerumunan yang lebih besar dapat dilihat di pusat vaksinasi mega.

"Kerumunan saya hanya 500 orang. Sudah tentu pada hari pertama semua orang berebut hadir.

"Tetapi beberapa hari akan datang situasi lebih baik," tambahnya.

Xavier dan jawatankuasa tokong telah mengumumkan pada hari Khamis pembukaan PPV dan operasinya dari jam 9 pagi hingga 4 petang selama tujuh hari bermula hari ini.

Mengulas pengumuman itu, bekas ketua ketua Kampung Baru Jenjarom, Chen Zhen Xing menyambut baik program vaksinasi tersebut tetapi menimbulkan kebimbangan terhadap jumlah peserta.

"Pada awalnya saya berpendapat bahawa ini hanya untuk penduduk kampung tetapi nampaknya MP (Xavier) mempunyai kebimbangan politiknya sendiri di mana dia boleh membenarkan semua pengundi di kawasannya datang ke tokong Ban Siew Keng dan mendapat vaksin.

"Ini menjadikan kami di Kampung Baru Jenjarom sangat risau," katanya dalam video yang dikongsi di Facebook.

Di Facebook, beberapa restoran tempatan mengumumkan perniagaan mereka akan ditutup selama seminggu kerana kebimbangan berhubung kehadiran orang ramai.

Chen selanjutnya mendesak Xavier mempertimbangkan untuk memindahkan pusat vaksinasi ke Dewan Jugra di Banting.

Menolak cadangan Chen, Xavier mengatakan pejabatnya sedia untuk memperluas inisiatif mereka untuk merangkumi unit vaksinasi bergerak yang mensasarkan penduduk kampung.

Sejak kes positif Covid-19 di seluruh negara meningkat menjadi lima angka pada 13 Julai, Selangor secara konsisten mendahului senarai negeri dan menyumbang lebih daripada separuh daripada kes positif baru setiap hari.

Dalam usaha meningkatkan jumlah vaksinasi, Pharmaniaga semalam mengesahkan bahawa kerajaan Selangor telah memesan 2.5 juta dos Sinovac lagi, sebagai tambahan kepada jumlah yang akan diterima dari Putrajaya di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.