Skip to main
Logo Malaysiakini

'Satu pembantu rumah, satu kerja': M'sia beri cadangan balas pada Indonesia

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Malaysia telah menjawab permintaan Indonesia untuk membolehkan rakyatnya diambil sebagai pembantu rumah di negara ini di bawah sistem "satu pembantu rumah, satu tugas".

Kementerian Sumber Manusia berkata menterinya, M Saravanan telah mencadangkan agar sistem sedia ada dikekalkan, iaitu seorang pembantu rumah untuk semua tugasan bagi satu isi rumah.

Cadangan tersebut dibuat semasa perbincangan secara dalam talian bersama Menteri Tenaga Kerja Indonesia, Ida Fauziyah.

Kementerian itu berkata perkara tersebut dibincangkan oleh kedua-dua menteri berkenaan pada Mei lalu dan disusuli dengan perjumpaan dua hala dalam talian semalam.

Perbincangan semalam turut melibatkan wakil daripada Wisma Putra, serta Kementerian Tenaga Kerja, Kementerian Luar Negeri dan Badan Perlindungan Buruh Asing republik itu.

"Perjumpaan awal antara kerajaan Malaysia dan Indonesia telah diadakan secara dalam talian pada Jumaat, 23 Julai, untuk memuktamadkan memorandum persefahaman (MoU) berhubung pengambilan dan perlindungan pembantu rumah Indonesia di sini," katanya dalam kenyataan semalam.

Ini bukanlah kali pertama Indonesia mencadangkan sistem "satu pembantu rumah, satu tugas" sebagai sebahagian daripada pembaharuan terhadap perundangan berkenaan penempatan warganya di negara luar.

MoU yang sedang dalam rundingan ini bagi mengemas kini terma yang dipersetujui pada 2011 dan tamat pada 2016.

Pelbagai usaha untuk menilai semula terma tertangguh sejak itu.

Pada 2013, wakil Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur Agus Triyanto dilaporkan berkata kerajaannya, sebagai sebahagian daripada pelan lima tahun, tidak akan lagi menghantar warganya untuk bekerja sebagai pembantu rumah atau pekerja tidak formal di negara luar.

Dia berkata majikan sebaliknya akan diberi pilihan untuk mengupah tukang masak, penjaga, pengasuh anak, atau pembantu rumah Indonesia yang bertauliah dengan gaji minimum yang ditetapkan sebanyak RM900 - yang merupakan gaji minimum Malaysia pada masa itu.

Cadangan itu mendapat tentangan daripada pihak berkepentingan di Malaysia termasuk majikan yang berkata langkah itu tidak praktikal dan akan mningkatkan kos untuk mengambil pembantu rumah Indonesia.

Mengenai perbincangan pada masa ini, Kementerian Sumber Manusia berkata hal-hal lain yang dibangkitkan termasuk mewujudkan "sistem satu saluran" untuk pengambilan dan penempatan, gaji serta perlindungan pembantu rumah warga Indonesia.

"Penekanan diberikan kepada pengaturan sistem satu saluran untuk memastikan penempatan pembantu rumah Indonesia di sini teratur dan lebih telus, terutama berkenaan isu pembayaran gaji dan pemeriksaan kesihatan.

"Malaysia dan Indonesia secara prinsip sepakat untuk mengintegrasikan sistem sedia ada di kedua-dua negara untuk mewujudkan sistem satu saluran," kata kementerian itu.

NGO hak migran Tenaganita berkata, MoU yang tidak terikat secara perundangan telah terbukti tidak berkesan untuk menjaga hak pembantu rumah.

"Sementara kita cenderung ke arah persetujuan dua hala dan pelbagai hala, perlu ada perundangan berasingan untuk pembantu rumah," kata pengarahnya Glorene Dass ketika dihubungi.

Sementara itu, aktivis Nasrikah Sarah berkata, persetujuan baru tersebut perlu melindungi hak pembantu rumah Indonesia untuk mendapat gaji, waktu kerja dan keadaan kehidupan yang wajar, serta akses terhadap dokumen perjalananan dan komunikasi.

Katanya lagi, lebih perlindungan diperlukan untuk membantu kumpulan itu jika mereka berdepan situasi yang tidak diingini, serta daripada dieksploitasi sesetengah ejen yang tidak bertanggungjawab.

Pada Mac lalu, kumpulan yang memperjuangkan hak pembantu rumah melancarkan kempen Kakak Juga Pekerja, antaranya untuk menggesa pembantu rumah diiktiraf sebagai pekerja formal di bawah Akta Kerja 1955.

Mengikut undang-undang Malaysia, pembantu rumah tidak termasuk dalam senarai pekerja yang mendapat hak asas seperti jam kerja, hari rehat, syarat perkhidmatan dan juga faedah bersalin.