Skip to main
Logo Malaysiakini

Rekodkan rakyat M'sia divaksin di luar negara dalam MySejahtera - Adun

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Rakyat Malaysia yang diberi vaksin penuh di luar negara perlu diberikan kaedah untuk mengemas kini rekod vaksinasi mereka di MySejahtera, kata Adun Stulang, Andrew Chen Kah Eng.

Chen merujuk pengumuman Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam bahawa kelonggaran akan diberikan individu yang telah melengkapkan dua dos vaksin tidak lama lagi.

"Ketika kerajaan terus mengkaji kelonggaran ini, saya ingin menarik perhatian mereka kepada sekelompok individu yang telah mereka lupakan.

"Kelompok ini adalah individu yang telah divaksinasi sepenuhnya di luar negeri, dan kini berada di Malaysia atau merancang untuk kembali ke Malaysia tidak lama lagi, tetapi tidak memiliki cara untuk memperbarui rekod vaksinasi mereka dalam aplikasi mudah alih MySejahtera," kata Chen.

Katanya,  sebilangan besar individu tersebut adalah rakyat Malaysia yang melanjutkan pengajian dan bekerja di Singapura, di mana mereka diberi vaksin Pfizer, Moderna atau Sinovac.

"Sebilangan kecil daripada mereka adalah pemandu lori Malaysia yang menghantar barang ke Singapura setiap hari.

"Pemandu-pemandu lori ini, atas ihsan kerajaan Singapura, memberikan vaksin kepada mereka semasa kita dalam fasa 1 program imunisasi Covid-19 kebangsaan," tambahnya.

Chen menggesa menteri yang bertanggungjawab dalam Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV)  iaitu Menteri Kesihatan Dr Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin memikirkan kaedah agar individu-individu ini dapat mengemas kini redod mereka melalui MySejahtera dan memperoleh sijil digital.

"Fungsi ini harus disediakan untuk semua rakyat Malaysia yang telah divaksinasi di mana-mana negara, selagi vaksin yang diterima termasuk dalam senarai penggunaan kecemasan Pertubuhan Kesihatan Dunia.

"Selain membenarkan mereka menikmati kelonggaran yang belum diumumkan dalam waktu terdekat, kemas kini rekod ini juga boleh mencerminkan jumlah sebenar individu yang divaksin sepenuhnya dalam statistik," tambah Chen.