Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis soal siasat 14 individu, kes konvoi bendera hitam

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Polis hari ini menyoal siasat 14 individu berkaitan konvoi bendera hitam semalam, anjuran kumpulan masyarakat sivil.

Ketika dihubungi, peguam Rajsurian Pillai berkata, enam daripada individu tersebut, masing-masing ditemani peguam mereka, disoal siasat di ibu pejabat polis daerah (IPD) Brickfields mulai jam 10 pagi hari ini.

"Siasatan dilakukan oleh IPD Brickfields dan IPD Dang Wangi.

"Tidak ada kompaun yang dikeluarkan hari ini," kata Rajsurian kepada Malaysiakini.

Semua enam individu disoal siasat bawah Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Mereka terdiri daripada tiga aktivis, penyelaras Suaram Mohammad Alshatri, pengasas bersama Undi18, Tharma Pillai dan Nashita Md Noor serta tiga penyokong lain, Amanda Lee, Marissa Parry dan Hafizah Afiah Bahtiar Apandi.

Rajsurian berkata, tujuh individu lain disoal siasat secara berasingan di IPD Sepang hari ini manakala seorang lagi dipanggil ke IPD Melaka Tengah di Melaka.

Katanya, lebih ramai individu yang dikaitkan dengan konvoi bendera hitam di seluruh negara dijangka dipanggil polis untul soal siasat esok.

Konvoi itu diadakan menjelang tunjuk perasaan '#Lawan turun ke jalan raya' yang dirancang pada 31 Julai, anjuran Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR).

Penganjur semalam mendakwa serangkaian konvoi bendera hitam, yang dilaporkan melibatkan 100 kenderaan di seluruh negara, mendapat 'gangguan polis' di beberapa tempat.

SSR mendakwa polis mengganggu konvoi di Quayside Mall di Kuala Langat, Selangor; Manjung di Perak; Pulau Melaka, Bandar Hilir, Limbongan dan Batu Berendam di Melaka; di Cyberjaya, Selangor; dan di Kuching, Sarawak.

Pada kenyataan berasingan, kumpulan hak asasi manusia Suaram mengutuk gangguan terhadap konvoi bendera hitam dan siasatan terhadap lebih 30 individu yang berkaitan dengannya.

"Suaram percaya bahawa ini satu lagi tindakan intimidasi dan gangguan terhadap pihak penganjur dan peserta yang membantah kerajaan yang jelas gagal mengutamakan nyawa dan penghidupan dalam krisis Covid-19 ini.

"Tindakan menaikkan bendera hitam untuk menunjukkan rasa tidak puas hati dan kekecewaan terhadap kerajaan juga termasuk dalam kedaulatan udang-udang dan bentuk luahan yang perlu dijaga dan dihormati," kata Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy.

Kumpulan hak asasi itu juga mengulangi kritikan terhadap dakwaan berlakunya 'layanan dua darjat' antara rakyat biasa dan golongan 'kayangan' dalam penyiasatan serta hukuman kes melanggar SOP Covid-19.

"Siasatan terhadap menteri atau pegawai kerajaan diabaikan atau ditangguhkan walaupun ada bukti konkrit dan sering mendapat 'hukuman ringan' atas kesalahannya," dakwanya.

[Baca berita asal]