MP gesa speaker benarkan mesyuarat dalam talian untuk semua j'kuasa parlimen
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Kesihatan, Sains, dan Inovasi Dr Kelvin Yii dalam sepucuk surat menggesa Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Harun untuk membenarkan semua jawatankuasa pilihan khas parlimen menjalankan kegiatan secara dalam talian.
Dalam surat yang dilihat oleh Malaysiakini, Yii meminta Azhar menggunakan kuasanya di bawah perintah tetap parlimen supaya kegiatan jawatankuasa dapat dilakukan secara hibrid, di mana kehadiran fizikal tidak wajib.
"[...] Kami meminta [Yang Dipertua] untuk menggunakan kuasanya di bawah Peraturan Mesyuarat 99 dan 100 untuk mengeluarkan panduan atau arahan yang diperlukan untuk memastikan atau membenarkan aktiviti ahli jawatankuasa dapat dilakukan secara hibrid, dan sekretariat dapat mengambil langkah-langkah yang diperlukan untuk memastikan aktiviti jawatankuasa dapat dilakukan secara hibrid,” kata Yii.
Ahli Parlimen Bandar Kuching itu berkata, ia bagi mengatasi masalah yang dihadapi ahli parlimen dan kakitangan parlimen terutamanya dari Sabah dan Sarawak, di mana pergerakan mereka terbatas akibat pandemik Covid-19.
"Anggota parlimen dari Sabah dan Sarawak mungkin perlu dikuarantin setiap kali menghadiri mesyuarat berkaitan, dan kakitangan kerajaan juga mungkin tidak dapat menghadiri perjumpaan fizikal sekerap yang diperlukan,” katanya.
Mengambil contoh sebelum ini, di mana sesi pendengaran dan lawatan kerja jawatankuasa din di luar Parlimen, Yii berpendapat bahawa cadangan mesyuarat hibrid itu tidak bertentangan dengan Peraturan Mesyuarat 83 (5A) yang menetapkan semua mesyuarat jawatankuasa mesti berlangsung dalam bangunan Parlimen.
Yii menambah sekiranya Azhar menganggap dia tiada kuasa untuk mengeluarkan garis panduan atau arahan di bawah peraturan mesyuarat itu, maka dia harus membenarkan pembentangan usul hari ini walaupun tanpa notis untuk menangguhkan peraturan-peraturan mesyuarat yang menyekat konsep mesyuarat hibrid, secara sementara
Dia juga mengeluarkan kenyataan bersama Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara Wong Kah Woh, selepas menghantar surat itu kepada Azhar hari ini.
Mereka menekankan bahawa mesyuarat hibrid itu akan memastikan kehadiran penuh anggota dan kakitangan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.
“Ia penting untuk memastikan jawatankuasa kita terus memainkan peranan dalam melaksanakan semak dan imbang untuk memastikan kerajaan bersikap telus, berintegriti dan bertanggungjawab, terutama ketika menangani masalah isu dasar komuniti dan masyarakat serta perkara yang berkaitan dengan kewangan dan perbelanjaan negara,” kata mereka.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai