Skip to main
Logo Malaysiakini

Protes doktor kontrak: Pembangkang tawar khidmat guaman

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pemuda PKR (AMK) dan Parti Amanah Negara (Amanah) menawarkan khidmat bantuan guaman kepada mana-mana peserta Hartal Doktor Kontrak yang berlangsung di seluruh negara, hari ini.

AMK melalui kenyataan biro profesional dan biro guaman dan undang-undang berkata, mereka memberi sokongan kepada para pegawai perubatan kontrak kerajaan atas tuntutan jaminan perkerjaan dan faedah yang sewajarnya melalui protes tersebut.

"AMK juga mengecam sebarang tekanan oleh pihak atasan yang mengancam akan mengambil tindakan tatatertib terhadap mereka yang menyertai protes aman yang dianjurkan.

"AMK juga menuntut supaya pihak berkuasa dapat menghormati hak-hak kebebasan mereka. AMK sedia menawarkan khidmat bantuan guaman kepada mereka yang diancam dengan sebarang tindakan undang-undang akibat daripada penyertaan dalam protes aman.

"Pegawai perubatan kontrak kerajaan telah membentuk sebahagian besar frontliners yang bertungkus-lumus melawan wabak Covid-19 di negara kita sejak tahun lepas," kata kenyataan itu.

Setakat ini, Polis Daerah Dang Wangi akan menyiasat protes di Hospital Kuala Lumpur atas alasan tiada siapa dibenarkan berhimpun tanpa kebenaran ketua pengarah kesihatan.

Protes berlangsung di pelbagai hospital di seluruh negara bagi menuntut doktor kontrak diserapkan ke jawatan tetap.

Sementara itu Amanah melalui Sekretariat Guaman berkata, pihaknya mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk intimidasi yang dikenakan terhadap peserta dan penganjur protes tersebut.

Melalui laporan media katanya, terdapat amaran dan ugutan daripada pihak berkuasa untuk menghalang peserta daripada berhimpun selain diarahkan menghentikan himpunan dan diminta bersurai.

"Sekretariat Guaman berharap agar perkara ini dihentikan dan hak para doktor untuk berhimpun dihormati. Kami juga bersedia menyediakan bantuan guaman kepada mana-mana peserta yang menerima intimidasi atau dipanggil pihak berkuasa untuk siasatan.

"Mereka yang memerlukan khidmat guaman ini boleh menghubungi sekretariat melalui talian 013-66680072," katanya dalam kenyataan media.