Skip to main
Logo Malaysiakini

Sarjan tak mengaku salah minta dan terima rasuah RM10,000

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seorang anggota polis berpangkat Sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan hari ini, terhadap dua tuduhan meminta dan menerima suapan daripada seorang lelaki bagi membebaskan dua individu yang ditangkap kerana memiliki ketum, dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Ameruddin Yusoof, 29, bagaimanapun memohon untuk dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Zaman Mohd Noor.

Mengikut pertuduhan, tertuduh selaku Sarjan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh didakwa meminta suapan RM5,000 daripada seorang lelaki untuk membebaskan dua individu yang ditangkap atas kesalahan memiliki daun ketum.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kampung Lembah Semerak, Pasir Puteh, jam 1 tengah hari pada 1 April 2019.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Bagi pertuduhan kedua pula, anggota polis itu didakwa menerima suapan RM5,000 daripada lelaki yang sama untuk membebaskan dua individu yang memiliki ketum di Bandar Baru Pasir Puteh, jam lebih kurang 6.50 petang, pada 1 April 2019.

Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hamizah Ghazali yang menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi dua pertuduhan tersebut.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya diberi jaminan paling minima memandangkan dia sudah berkahwin dan mempunyai anak berusia dua bulan.

Mahkamah kemudiannya menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan selain perlu melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat pada setiap 1 hari bulan.

Hakim turut menetapkan 24 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.