Skip to main
Logo Malaysiakini

Maszlee minta k'jaan beri pelepasan cukai pada IPTS

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik meminta kerajaan membantu insitusi pengajian tinggi swasta (IPTS) untuk meneruskan kelangsungan ketika berdepan pandemik Covid-19.

Bekas menteri pendidikan itu dalam sidang media di parlimen hari ini meminta kerajaan pemberian pelepasan cukai untuk tempoh dua tahun kepada IPTS sehingga keadaan kembali pulih.

Selain itu dia juga meminta kerajaan memberikan subsidi bayaran yuran kepada pelajar dari keluarga B40 dan M40 yang  menyambung pengajian di IPTS.

"Berikan juga pengecualian visa dan pembayaran pengurangan visa kepada EMGS (Education Malaysia Global Services) bagi pelajar antarabangsa yang mendaftar secara atas talian, dan belajar di dalam talian di mana-mana IPT, sama ada awam mahupun swasta di waktu pandemik ini, sehingga mereka datang ke Malaysia," katanya.

Menurut bekas menteri pendidikan itu, kebanyakan IPTS kini mengalami kekurangan kemasukan pelajar baru sepanjang berdepan wabak Covid-19.

"Wabak Covid-19 begitu mencabar survival IPTS yang kebanyakannya dilanda krisis sepanjang wabak melanda kerana kurangnnya kemasukan pelajar baru sepanjang tempoh Covid-19, terutamanya kemasukan pelajar antarabangsa yang majoritinya merupakan punca pendapatan kepada IPTS tempatan.

"Keadaan yang getir dan luar biasa ini memerlukan pendekatan yang tidak konvensional di dalam memastikan proses pendidikan berkualiti di peringkat pengajian tinggi akan terus lestari walaupun wabak yang melanda," katanya.