Skip to main
Logo Malaysiakini

Batal Ordinan Darurat: Bagaimana klinik yang dijadikan CAC, soal MP

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Tidak berpuas hati dengan persoalan berkaitan Ordinan Darurat yang dibatalkan sejak 21 Julai lalu, ahli-ahli parlimen pembangkang membangkitkan beberapa persoalan adakah arahan-arahan berkaitan di bawah ordinan tersebut masih digunapakai.

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching antaranya mempersoalkan kuasa yang diberi oleh kerajaan dalam menjadikan klinik dan fasiliti perubatan swasta sebagai pusat penilaian Covid-19 (CAC).

“Tapi sekarang Ordinan Darurat dibatalkan. Soalan saya apa jadi terhadap klink dan fasiliti perubatan swasta yang dijadikan sebagai CAC ini?,” katanya dalam sidang media di bangunan parlimen hari ini. .

Tambahnya, jika ordinan tersebut dibatalkan, kuasa di bawah ordinan tidak dapat digunakan dan kesannya klinik-klinik dan fasiliti perubatan swasta yang dijadikan CAC tidak dapat mengeluarkan arahan terhadap pesakit Covid-19, seperti Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO).

“Pada pandangan kami, penjelasan kerajaan adalah sangat-sangat penting dan penjelasan ini harus diberikan serta-merta,” katanya.

Menurut Teo, sekurang-kurangnya terdapat 65 klinik dan fasiliti perubatan swasta di Selangor yang dijadikan CAC bagi mengelakkan berlaku kesesakan.

Dia turut membangkitkan situasi di Stadium Malawati di Shah Alam, Selangor yang menyaksikan ribuan pesakit Covid-19 beratur bagi menjalani ujian penilaian Covid-19.

Sementara itu dalam sidang media yang sama, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer pula mempersoalkan apakah kompaun yang dikeluarkan kepada individu di bawah Ordinan Darurat sejak 21 Julai lalu sah.

Katanya, kini wujud kekeliruan sama ada Ordinan Darurat masih berkuatkuasa ataupun tidak memandangkan masih ramai dikenakan kompaun sejak kelmarin.

“Speaker janganlah menjadi juru ucap untuk kerajaan. Saya merayu kepada beliau supaya serahkan tugas dan amanah ni kepada menteri-menteri yang diberikan tanggungjawab,” katanya. 

Semalam, kerajaan mengumumkan enam Ordinan Darurat telah dibatalkan sejak 21 Julai lalu, sedangkan Proklamasi Darurat tamat pada 1 Ogos.

Perkara itu menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan ahli parlimen pembangkang yang berpendapat ordinan berkenaan perlu dibentang dan dibahaskan di parlimen terlebih dahulu.