Skip to main
Logo Malaysiakini

Adham jamin tiada tindakan disiplin pada doktor kontrak sertai hartal

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PARLIMEN | Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba, hari ini memberi jaminan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak akan mengenakan sebarang tindakan disiplin terhadap doktor kontrak yang mengadakan hartal secara serentak di seluruh negara semalam.

Hartal sebagai tanda protes mereka terhadap cara layanan kerajaan itu berlangsung pada jam 11 pagi.

“Tidak akan ada apa-apa tindakan kepada mereka walaupun mereka keluar semalam. Mereka berhak berbuat demikian," katanya dalam Sidang Khas Parlimen hari ini.

Adham menjawab pertanyaan Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) sama ada KKM akan mengambil tindakan terhadap doktor yang terlibat dalam hartal itu.

Mengulas lanjut, Adham berkata kerajaan mengambil langkah ekstrem untuk menyelesaikan isu doktor kontrak termasuk melanjutkan tempoh perkhidmatan dua tahun lagi dan kenaikan gred setara dengan kakitangan tetap.

Katanya, pada masa sama kerajaan juga akan membawa isu doktor kontrak itu ke parlimen untuk dibincangkan agar penyelesaian jangka panjang - seperti pindaan beberapa akta termasuk Akta Pencen 1990 - bagi membolehkan doktor kontrak diserap ke jawatan tetap.

"Bagaimanapun kita perlu pinda Akta Pencen 1990 dan kita perlukan sokongan ahli yang berhormat untuk sokongan supaya perkara ini dapat dibawa dan diluluskan," katanya.

Adham berkata dia meminta semua doktor termasuk berstatus kontrak untuk terus melaksanakan tugas mereka dan kerajaan pula terus membantu menyelesaikan masalah berbangkit.

Mahu lapan ke 10 tahun

Dzulkefly kemudian bangkit mencelah dengan menegaskan bahawa pihaknya hanya akan menyokong cadangan Adham sekiranya tempoh kontrak yang dibangkitkan oleh doktor kontrak dilanjutkan dalam jangka masa lapan hingga sepuluh tahun.

"Yang diminta MMA (Persatuan Perubatan Malaysia) bukanlah tambahan jangka pendek iaitu selama dua tahun, sebaliknya mereka memohon untuk mendapatkan paling tidak lapan atau sepuluh tahun.

"Dua tahun tidak mencukupi, kita terus mohon lapan terus dan kita akan sokong lapan tahun, bukan dua tahun. Itu permohanan mereka," tegasnya.

Bagaimanapun, suasana Dewan menjadi panas apabila Azizah Mohd Dun (PN-Beaufort) bangkit mencelah dan mempersoalkan tindakan Dzulkefly ketika menjadi menteri kesihatan sebelum ini.

"Kuala Selangor, saya nak tanya semasa Kuala Selangor jadi menteri dia buat ke ni?" soalnya.

Berang dengan kenyataan Azizah itu, Dzulkefly bangkit mempertahankan dirinya.

"Dalam proses. Jawapan kami, kami mempunyai Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan untuk seluruhnya, bukan sahaja doktor tetapi semua perkhidmatan. Itu jawapan kami, tetapi kerajaan pintu belakang ..." kata Dzulkefly tidak sempat menghabiskan ayatnya selepas disampuk oleh ahli Parlimen lain.

Turut bangkit mencelah adalah Khalid Samad (Shah Alam-Amanah) yang mendakwa Adham mengelirukan Dewan Rakyat apabila memberikan jawapan berbeza daripada Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz semalam.

Semalam, kata Khalid, Tengku Zafrul berkata doktor kontrak terbabit akan ditawarkan kontrak tambahan tapi menteri kesihatan hari ini berkata akan diterima sebagai jawatan tetap.

Semalam, ratusan doktor kontrak kerajaan di seluruh negara, termasuk di HTAR, mengadakan mogok kerja dengan berhenti melakukan tugasan dan keluar beramai-ramai serentak pada jam 11 pagi.

Gerakan Hartal Doktor Kontrak dalam usaha melobi jaminan pekerjaan dan peluang kerjaya yang lebih baik.

Melalui sistem semasa, doktor kontrak berdepan ketidakpastian setelah tamat lima tahun tempoh khidmat wajib mereka kerana kerajaan tidak mempunyai peruntukan untuk menawarkan mereka jawatan tetap.

Akibatnya, ramai doktor kontrak terpaksa berpindah ke sektor swasta atau meneruskan latihan kepakaran mereka di luar negara.

Selepas berbulan-bulan melobi, kerajaan pada 23 Julai lalu menawarkan untuk melanjutkan kontrak mereka sehingga enam tahun tetapi masih tidak menawarkan jawatan tetap.

Namun, kerajaan berjanji untuk memastikan doktor kontrak juga menikmati faedah serupa dengan doktor tetap.

Hartal Doktor Kontrak menyifatkan tawaran kerajaan itu "separuh masak" menegaskan lanjutan kontrak bukan penyelesaian terhadap tuntutan untuk jawatan tetap.