'Aunty' jiran murah hati, beri semangat pemain biola terus berkarya
Pemain biola profesional Endang Hyder telah mengalunkan muziknya selama bertahun-tahun.
Salah seorang peminat setia mendengar gesekan biolanya itu adalah jirannya, seorang wanita warga emas, yang cuma dikenal Endang sebagai "Aunty".
Ketika wabak Covid-19 melanda, Endang seperti ramai orang lain di negara ini, terjejas teruk secara kewangan.
Tanpa punca pendapatan kerana sekatan persembahan secara langsung, untuk terus bertahan hidup maka pemuzik berusia 35 tahun di Kampar itu terpaksa menjual barang-barangnya, termasuk biola dan baru-baru ini, iPhone miliknya.
Namun, minggu lalu, ketika Endang pulang ke rumah setelah melakukan kerja ambil upah membersihkan kebun, dia mendapati ada iPhone baru menunggunya.
"Ibu saya memberi saya beg plastik dan memberitahu saya itu dari Aunty. Saya kelu, tak terkata apa,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
"Bersama dengan iPhone, mereka juga menyumbangkan casing telefon, fon telinga, adapter dan aksesori lain supaya saya tidak perlu mendapatkannya sendiri."
Di dalam beg itu ada catatan yang ditinggalkan oleh Aunty, berbunyi: "Harap kamu dapat terus menciptakan lagu yang bagus."
Endang menambah: "Pada malam itu, saya memainkan untuknya lagu Yue Liang Dai Biao Wo De Xin (The Moon Represent My Heart) oleh Teresa Teng dan menghantarnya beberapa sandwic telur.
"Anak perempuan Aunty datang keesokan harinya untuk membantu menyiapkan iPhone itu.
"Dia menyuruh saya supaya tidak menjual barang-barang saya dan terus menghasilkan karya muzik saya.
"Anak perempuan Aunty juga meminta saya untuk memberitahu mereka jika saya memerlukan apa-apa."
Sejak bungkusan pertama tiba, kata Endang, Aunty juga telah menghantar pakaian untuk tiga anak Endang, makanan dan termasuk vitamin (gambar, bawah).
Menjadi jiran selama beberapa dekad, Endang berkata, hubungan Aunty dan keluarganya selalu baik.
Dia teringat bagaimana dia akan kembali dari sekolah rendah ke rumah yang sunyi kerana kedua orang tuanya bekerja.
Mengetahui hal ini, jirannya itu akan membuka pintu mereka dengan cukup lebar sehingga mereka dapat memerhatikan keadaan gadis kecil itu.
“Uncle (suami Aunty) juga memberi kami sekarton susu, mengetahui bahawa anak-anak saya menyukainya.
"Mereka benar-benar telah banyak menolong saya sejak kecil, kadang-kadang saya tertanya-tanya apa yang telah saya lakukan untuk mendapatkan semua ini," katanya.
Endang berkata dia jarang-jarang berjumpa Aunty dan tidak pernah benar-benar berbual dengannya kerana wanita tua itu tidak fasih berbahasa Inggeris atau Bahasa Malaysia.
Tetapi setiap malam, ketika Endang berlatih biola atau membuat persembahan di media sosial, Aunty akan membuka pintunya untuk mendengar muzik.
"Selama 10 tahun terakhir, Aunty hanya tinggal di dalam rumah kerana komplikasi kesihatan. Kadang-kadang, Uncle akan membawanya ke balkoni mereka sehingga dia dapat mendengar muzik saya dengan lebih baik dari sana. "
Pemain biola itu berkongsi kisah hubungannya dengan jirannya di media sosial minggu lalu tetapi pada mulanya enggan melakukannya kerana bimbang orang mungkin menyangka dia hendak menunjuk-nunjuk.
"Tetapi kemudian saya rasa ini (saya menyatakan) rasa terima kasih saya kepada mereka. Saya perlu berkongsi apa yang telah mereka buat untuk saya. "
Yakin masih ada kemanusiaan
Endang telah tinggal di Kampar - yang berpenduduk 854,441 - sejak tahun 1997. Pada tahun 2005, Endang berpindah ke Kuala Lumpur, kota bersaiz tujuh kali ganda dari kampung halamannya.
Dua belas tahun kemudian, dia pulang ke Kampar dengan perubahan sikap. Katanya, kehidupan kota mengubahnya apabila dia mendapati dirinya lebih mudah menghakimi orang.
"Orang di sana (di Kuala Lumpur) sama sekali berbeza dengan orang di sini (di Kampar). Semua orang (di Kuala Lumpur) berpendapat saya mungkin ada agenda tersembunyi walaupun apa yang saya lakukan adalah sekadar menghidangkan mereka secawan kopi kerana saya berasa gembira.
"Jadi, ketika saya kembali ke Kampar dan saya mula kembali hidup dengan orang-orang ini lagi. Itu mengingatkan saya pada semua yang telah hilang, bagaimana rasanya ketika anda melakukan sesuatu tanpa mengharapkan balasan apa-apa. "
Di pekan lebih kecil, khabar dan desas-desus juga bergerak dengan pantas, katanya. Inilah punca jirannya mengetahui bahawa dia terpaksa menjual iPhone untuk membayar bil, walaupun dia tidak pernah menyebutnya kepada mereka.
"Sumber pendapatan saya dulu adalah melalui persembahan dalam acara dan majlis. Sejak PKP (perintah kawalan pergerakan) diumumkan, kami tidak mempunyai acara dan jadi saya harus bergantung pada simpanan saya.
"Saya terpaksa menjual barang-barang saya untuk mendapatkan sejumlah wang. Saya bekerja di kebun dan juga menjual sandwic telur. Saya hanya mempunyai tiga pelajar yang belajar biola pada masa ini,” kata Endang ketika menjelaskan kesempitan hidupnya semasa wabak ini.
Namun, kemurahan hati jirannya memberinya semangat untuk terus berkarya.
Bagi menunjukkan rasa terima kasihnya, setiap malam Endang memainkan lagu-lagu yang dipilih khas untuk Aunty kerana telah membawakan kegembiraan kepadanya dalam tempoh yang mencabar ini.
“Ketika saya mengalunkan lagu untuk Aunty, ia berasal dari ruang yang sangat istimewa dan menggembirakan.
“Aunty telah mengembalikan keyakinan saya terhadap kemanusiaan dalam melakukan sesuatu tanpa mengharapkan apa-apa balasan.
"Ucapan terima kasih tidak cukup untuk menzahirkan perasaan terharu ini," kata Endang lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai