Skip to main
Logo Malaysiakini

Guan Eng: Bagaimana k'jaan beli vaksin lepas batalkan Ordinan Darurat?

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini bertanya adakah kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan mempunyai dana untuk melengkapkan pembelian vaksin selepas menteri undang-undang Takiyuddin Hassan mengumumkan pembatalan Ordinan Darurat berkuat kuasa 21 Julai lalu.

"Pengumuman tiba-tiba dan tergesa-gesa oleh kerajaan PN di Parlimen mengenai pembatalan enam Ordinan Darurat secara undur tarikh telah menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat, bukan sahaja terhadap keabsahan undang-undang kompaun dan denda yang dikeluarkan tetapi juga pembelian vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick).

"PN telah bergantung pada Ordinan Darurat untuk meminda Akta Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN), tanpa kelulusan Parlimen, bagi membolehkan kerajaan memperuntukkan RM5 bilion untuk pembelian vaksin.

"Tanpa menggunakan kuasa darurat untuk meminda Akta KWAN, kerajaan tidak dapat menggunakan wang daripada dana yang ditubuhkan sebagai tabung pelaburan masa depan negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, pada 26 Julai Takiyuddin memberitahu Dewan Rakyat bahawa pelaksanaan enam Ordinan Darurat dibatalkan berkuat kuasa 21 Julai.

Antara ordinan yang dibatalkan adalan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu); Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah) (pindaan) 2021.

Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja)(pindaan) 2021, turut dibatalkan.

Lim berkata bahawa pembatalan Ordinan Darurat mungkin mengakibatkan kerajaan perlu mencari sumber dana lain bagi menampung sebarang kekurangan daripada jumlah RM5 bilion tersebut.

"Sehingga hari ini, kerajaan belum mendedahkan berapa jumlah dana daripada jumlah RM5 bilion diperuntukkan daripada KWAN yang telah digunakan untuk pembelian vaksin.

"Nampak seperti jumlah penuh RM5 bilion masih belum dikeluarkan daripada KWAN," katanya.

Dia juga menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai salah satu pemegang amanah KWAN, mendedahkan jumlah wang yang telah digunakan setakat ini untuk perolehan vaksin demi ketelusan dan akauntabiliti awam.