Semua guru akan terima vaksin sebelum sekolah dibuka
PARLIMEN | Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan hari ini memberi jaminan semua guru akan mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksi sebelum sekolah dibuka semula Sept ini.
Menurut Khairy Jamaluddin guru terbabit termasuklah pendidik yang berkhidmat di sekolah-sekolah vokasional di seluruh negara.
Khairy berkata demikian semasa menjawab soalan ahli Dewan Rakyat pada sesi sidang khas parlimen yang memasuki hari ketiga hari ini.
Selain itu katanya sehingga semalam (27 Jul) seramai 303,682 orang atau 73.5 peratus guru, 45,197 anggota kumpulan pelaksana (AKP) atau 67 peratus dan 33,033 pekerja sokongan kontrak (38 peratus) sudah terima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
"Bagi proses vaksinasi guru tingkatan lima dan enam, status kemajuan adalah menggalakkan dengan 80,717 orang (90 peratus) telah divaksin, manakala di sekolah swasta seramai 12, 894 guru(66.8 peratus) sudah divaksin," katanya.
Khairy yang menteri sains, teknologi dan inovasi menambah bagi guru yang mengajar pelajar terbabit dalam peperiksaan utama, seramai 4,367 orang (58 peratus) menerima vaksin masing-masing, selain 3,026 kakitangan sokongan (54 peratus) juga terbabit.
Katanya, Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) juga bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memastikan semua guru, AKP dan anggota perkhidmatan sokongan yang belum mendapat janji temu agar dikenal pasti segera.
Pada masa sama Khairy mengakui ada sebilangan guru yang menolak divaksinkan.
"Justeru saya seru pihak pentadbir sekolah supaya membuat capaian kepada golongan tersebut supaya tidak tercetus jangkitan selepas sekolah dibuka," katanya.
Apabila Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik bangkit meminta penjelasan sama ada kakitangan kantin dan pemandu bas atau vak sekolah turut termasuk dalam proses itu, Khairy memberitahu mereka termasuk dalam kategori perkhidmatan sokongan bersama pegawai keselamatan dan pekerja pembersihan.
Sebelum ini KPM menyatakan sekolah di seluruh negara akan dibuka secara berperingkat-peringkat mulai Sept ini selepas ditutup akibat ancaman Covid-19.
Ia menimbulkan kebimbangan banyak pihak ketika proses vaksinasi sebelum ini dilihat berjalan perlahan dan memungkinkan tercetusnya kluster baru di sekolah.
Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub dan Maszlee sendiri pernah membangkitkan kebimbangan tersebut baru-baru ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai