Skip to main
Logo Malaysiakini

Hospital Serdang jadi hospital Covid-19 keempat di Lembah Klang

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Hospital Serdang jadi hospital Covid-19 keempat di Lembah Klang.

Perkembangan ini hadir hanya seminggu setelah Kementerian Kesihatan mengumumkan hospital ketiga Covid-19 untuk Lembah Klang.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (kesihatan awam) Dr Chong Chee Kheong mengeluarkan arahan mengenai perkara itu hari ini.

Dilihat oleh Malaysiakini dan disahkan oleh seorang pegawai kementerian, arahan itu bertajuk "mengubah Hospital Serdang menjadi hospital Covid-19 penuh memandangkan lonjakan kes di Lembah Klang".

"Keputusan itu dibuat oleh Pasukan Petugas Khas Lembah Klang pada 27 Julai pukul 8.30 malam.

“Memandangkan lonjakan kes Covid-19 di Lembah Klang, pasukan petugas khas telah mengarahkan agar perkhidmatan jantung di Hospital Serdang harus disumberluarkan sepenuhnya untuk memberi ruang merawat kes Covid-19, terutama kes kritikal yang memerlukan rawatan rapi," katanya.

Chong mengetuai pasukan petugas khas itu.

Arahan itu dihantar kepada Pengarah Hospital Serdang, Dr Md Fikri Abu Bakar.

Ia juga disampaikan kepada pengarah kesihatan dari semua negeri dan wilayah bersama dengan catatan ini:

"Jika ada pesakit yang memerlukan rawatan jantung, rujuk mereka ke Institut Jantung Negara (IJN) atau hospital swasta yang menawarkan perkhidmatan ini".

Hospital Covid-19 penuh yang lain adalah Hospital Sungai Buloh, Hospital Ampang dan Hospital Selayang.

Selangor dan Kuala Lumpur mencatatkan sejumlah 109,998 kes positif dalam dua minggu terakhir.