Aktivis Sarah Irdina 'trauma kena lokap, dakwa polis ancam keluarga'
Aktivis anak muda Sarah Irdina berkongsi pengalaman 'trauma' berikutan penangkapannya dua hari lalu, mendakwa polis tidak hanya mengintimidasi dirinta tetapi juga ahli keluarganya.
Ini ekoran kicauannya di Twittera mengenai bantahan #Lawan yang akan berlangsung di Kuala Lumpur hari ini untuk menuntut pengunduran diri Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di tengah-tengah meningkatnya wabak Covid-19.
Sarah berkata dia ditahan di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi pada hari Khamis dan berdepan banyak pertanyaan, khususnya mengenai akaun Twitter MISI: Solidariti, yang dikendalikannya.
Aktivis berusia 20 tahun itu berkata setelah polis mendokumentasikannya, dia dibawa dengan kenderaan polis ke rumahnya di mana mereka terus menyerbu biliknya untuk mencari peranti yang digunakan untuk mengakses akaun Twitter kumpulan anak muda progresif itu.
"Ibu saudara saya hampir menangis, merayu polis melepaskan saya. Melihat ibu saudara saya dalam keadaan sebegitu, ditahan polis, ia hampir menghancurkan hati saya. Tetapi saya perlu kuatkan semangat: Saya memberitahunya bahawa saya akan okay.
"Polis terus-menerus memberitahu ibu saudara saya bahawa saya tidak cukup memberikan bekerjasama. Itu membuatkan saya marah - semua yang saya lakukan adalah berusaha sebaik mungkin untuk menggunakan hak saya di bawah undang-undang ketika saya disoal siasat oleh mereka sebelum ini.
"Taktik ancaman ini tidak hanya digunakan terhadap saya. Ia turut digunakan terhadap ahli keluarga tercinta saya, yang telah disasarkan oleh polis dengan jelas untuk memaksa kerjasama saya," kongsinya di Twitter.
Sarah disiasat bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
‘Dipaksa bogel, buka pakaian dalam’
Kata Sarah, polis kemudian membawanya ke pusat tahanan di mana dia ditahan semalaman.
"Saya dipaksa berbogel membuka baju, sampai ke pakaian dalam saya. Saya menukar pakaian menyarung baju dan seluar lokap polis, sebelum memasuki sel saya," jelasnya.
Katil lokap di situ kata Sarah dibuat dari batu bata dengan papan keras di atasnya dan bilik mandi terbuka di sebelahnya yang dapat dilihat oleh semua orang yang berjalan melalui sel kecil itu.
"Saya tidak dapat berhenti menangis. Yang dapat saya fikirkan adalah bagaimana saya akan bertahan selama 12 jam berikutnya - rasanya seakan tak habis-habis; rasanya mustahil menempuh penahanan itu.
"Saya bahkan tak berselera nak makan dan tak dapat melelapkan mata untuk tidur ... Adakah hidup saya akan sama lagi selepas ini? Apa yang saya lakukan yang cukup teruk sehingga melayakkan saya menjalani penahanan ini?
"Kerajaan seperti apa yang menghukum anak muda kerana menuntut keadilan dan meminta apa yang sememangnya kita, rakyat berhak untuk menikmatinya," soalnya.
Sarah berkata dia kehilangan konsep masa.
"Di dinding lokap saya terdapat satu frasa, ditulis berulang kali: "Tetap kuat".
"Bertebaran di sel itu dua kata-kata ini yang dicoret tahanan terdahulu menusuk kekuatan di hati saya. Saya tertanya-tanya, dan berharap sekarang, bahawa orang yang menulisnya dalam keadaan okay," katanya.
Ditahan selama 11 jam
Sarah mengucapkan terima kasih kepada semua orang yang telah menyatakan setiakawan dengannya, mengaitkan hal itu dengan pembebasan awalnya.
Sarah dibebaskan sekitar jam 1 pagi pada hari Jumaat setelah hampir 11 jam ditahan. Dia menggambarkan penahanannya sebagai penyeksaan mental.
"Apa yang saya lalui bukanlah sesuatu yang unik berlaku hanya kepada diri saya seorang saja: hal itu telah terjadi kepada ramai orang lain dan akan terus berlaku kepada lebih banyak orang. Tetapi dari lubuk hati saya: Tidak ada seorangpun patut melalui ini.
"Ancaman yang ditimbulkan oleh polis terhadap saya dan rakan-rakan saya tidak dapat diterima.
"Tindakan tidak berperikemanusiaan kerajaan terhadap mereka yang berjuang untuk Malaysia yang lebih baik itulah yang terus menyakitkan kita rakyat Malaysia, sedangkan tugasnya (kerajaan) sepatutnya untuk melindungi mereka. Inilah sebabnya mengapa kita #lawan," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai