Skip to main
Logo Malaysiakini

Kastam Kelantan patahkan sindiket seludup rokok, kereta bernilai lebih RM 1.72 juta

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan berjaya membanteras kegiatan penyeludupan rokok dan kereta bernilai RM 1.72 juta dalam dua serbuan yang berlainan di Padang Bongor, Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada 25 Julai lalu.

Pengarah Kastam Negeri Kelantan, Mohd Rakbi Mat Saud berkata, pelbagai jenis rokok di dalam dua muatan lori berjaya dirampas yang disyaki diseludup masuk secara haram melalui sempadan Sungai Golok dan pesisir pantai Negeri.

Katanya lebih 1.68 juta batang rokok bersama dua buah lori bernilai RM 1.14 juta berjaya dirampas manakala bagi kes kedua pula, sebuah Mitsubishi Lancer bernilai RM 38,000 juga dirampas.

"Kenderaan yang diseludup ialah jenis Mitsubishi Lancer yang diseludup dari Singapura dan menggunakan taktik mengklon kenderaan tersebut dengan yang asal yang didaftar di bawah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Pihak kami masih menyiasat kes-kes melibatkan rampasan lori yang terlibat ke atas pemilikan rokok-rokok seludup dan kenderaan yang dibawa masuk dari negara jiran Singapura.

"Kedua-dua kes berkenaan disiasat di bawah seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Rakbi juga menggesa dan menasihati orang ramai untuk sama-sama memerangi kegiatan penyeludupan dan tidak terbabit dengan jenayah itu.

"Sila hubungi kami di talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat untuk menyalurkan maklumat berkenaan sebarang aktiviti penyeludupan," katanya lagi.