Skip to main
Logo Malaysiakini

Vaksin: Penduduk dewasa Lembah Klang boleh 'walk-in' mula 5 Ogos

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Vaksinasi secara 'walk-in' di Lembah Klang diperluas kepada semua yang berusia 18 tahun ke atas, menurut menteri Khairy Jamaluddin.

Menteri yang bertanggungjawab untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) itu memberitahu sidang media hari ini bahawa semua orang dewasa yang berumur 18 tahun ke atas boleh hadir secara 'walk-in' di pusat-pusat vaksinasi (PPV) terpilih untuk mendapatkan suntikan mulai 5 Ogos ini.

Bagaimanapun, ia hanya bagi mereka yang belum menerima janji temu untuk vaksinasi.

Bagi individu berusia 40 tahun ke atas, dan mereka yang mempunyai komorbiditi, vaksinasi secara 'walk-in' akan bermula pada hari Isnin ini (2 Ogos).

"Tidak semua pusat vaksinasi di Lembah Klang akan menerima 'walk-in'. Senarai pusat vaksinasi yang menerima 'walk-in' dikeluarkan hari ini," katanya.

Khairy menambah bahawa inisiatif itu akan dibuat berdasarkan penerima yang hadir dahulu, dan bergantung pada kapasiti setiap PPV.

Mereka yang tidak dapat melakukan vaksinasi akan diutamakan untuk menerima suntikan pada keesokan harinya, tambahnya.

Sebelum ini, Pasukan Petugas Covid-19 telah membuka vaksinasi secara 'walk-in' kepada warga emas Lembah Klang, bermula pada 17 Julai.