PGA Kelantan gagalkan dua kegiatan penyeludupan haram
Cubaan menyeludup cecair dan katrij vape serta sarang burung layang-layang tidak kesampaian selepas digagalkan pihak berkuasa dalam dua serbuan berasingan di Kampung Limau Purut, Pasir Mas, Kelantan, semalam.
Pegawai Pemerintah Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) Kelantan, Supt Nor Azizan Yusoff berkata, pihaknya membuat serbuan ke atas rumah tidak bernombor yang dipercayai dijadikan transit barangan seludup sekitar jam 2.30 pagi semalam.
"Pemeriksaan awal mendapati rumah tersebut tidak berpenghuni dan dipercayai dijadikan sebagai transit sementara sebelum diseludup ke negara jiran melalui pangkalan haram yang berdekatan.
"Hasil pemeriksaan lanjut, pihak kami menjumpai 1,350 unit pelbagai jenis jemama cecair vape yang bernilai RM 135 ribu dan 1,450 unit pelbagai jenis cartridge bernilai RM 87ribu.
"Anggaran keseluruhan nilai rampasan adalah bernilai RM 222 ribu," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambahnya, laporan polis telah dibuat di balai polis Lubok Setol, Pasir Mas dan barang rampasan diserah kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk siasatan selanjutnya.
Sementara itu, dalam serbuan yang kedua pula, sekumpulan penyeludup bertindak melarikan diri dan membuang sarang burung layang-layang bernilai ratusan ribu ringgit setelah menyedari kehadiran pihak berkuasa di pangkalan haram Limau Purut sekitar jam 2.30 pagi.
Nor Azizan berkata, pihaknya melihat sekumpulan lelaki sedang memunggah kotak-kotak berwarna kuning ke atas tiga buah motosikal dalam keadaan mencurigakan semasa membuat rondaan.
"Setelah menyedari kehadiran pihak kami, sekumpulan lelaki terbabit terus memecut laju dengan menaiki motosikal ke arah nursery yang berdekatan sebelum bertindak membuang kotak-kotak tersebut.
"Hasil pemeriksaan lanjut, pihak kami mendapati kotak-kotak berkenaan mengandungi 23.5 kilogram (kg) sarang burung layang-layang bernilai RM188,000.
"Kami telah membuat laporan polis di balai polis Lubok Setol dan menyerahkan barang rampasan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) untuk siasatan lanjut," katanya.
Menurut Nor Azizan, pihaknya masih cuba mengesan penunggang motosikal berkenaan.
"Kes dalam serbuan pertama disiasat di bawah Akta Racun 1952 manakalaka kes kedua pula disiasat di bawah seksyen 11(1) Akta Maqis 2011," jelas Nor Azizan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai