Veteran Umno: PM interim wajar ketika negara berdepan kemelut politik
Perdana menteri interim wajar ketika negara sedang berdepan kemelut politik yang tidak menentu, kata veteran Umno Mustapha Yaakub.
Ketika ditanya siapakah sesuai menyandang jawatan itu, Mustapha menamakan Timbalan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.
“Ia munasabah dan wajar bagi menyelesaikan kemelut politik yang berdepan dengan krisis keyakinan ahli parlimen kepada perdana menteri dan bagi meredakan kerenggangan Istana Negara dengan Pejabat Perdana Menteri (PMO),” katanya kepada Malaysiakini.
Dia berkata demikian ketika diminta mengulas ciapan bekas menteri kewangan II, Johari Abdul Ghani pada Jumaat (30 Julai) yang mengatakan pembangkang mahupun kerajaan perlu menyokong pelantikan perdana menteri sementara, memandangkan negara sedang berdepan pelbagai krisis termasuk perlembagaan, kesihatan, ekonomi dan politik.
Johari yang juga merupakan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dalam bebenang ciapannya berkata, ia bertujuan supaya program vaksinasi negara tidak terjejas dengan kemelut sedia ada.
“Negara kini sedang berdepan dengan krisis perlembagaan berikutan teguran yang dikeluarkan oleh Istana Negara dan kenyataan balas daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO). Ia tidak membawa petanda baik kepada rakyat dan negara,” kata Johari.
Johari berkata negara tidak mampu lagi berdepan dengan krisis perlembagaan yang boleh menjejaskan masa depan negara dalam pemulihan daripada Covid-19.
“Oleh itu, sudah tiba masanya untuk pemimpin dari semua parti politik, sama ada dari kerajaan atau pembangkang untuk menyokong pelantikan perdana menteri interim, supaya kerajaan dapat menumpukan usaha vaksinasi agar tidak tercicir memandangkan hanya 19 peratus daripada penduduk di Malaysia yang telah divaksinasi sepenuhnya,” katanya.
PM interim munasabah
Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Prof Madya Awang Azman Awang Pawi berkata, bukan sahaja perdana menteri interim, malah kerajaan interim juga dapat dibentuk sekiranya kerajaan dapat dibuktikan tidak mempunyai sokongan majoriti di parlimen, menunjukkan prestasi yang tidak memuaskan dan tidak dapat perkenan daripada Agong.
“Tapi ia perlu diliputi oleh pemimpin parti terpilih dan dihormati serta diterima semua pihak dan melibatkan juga teknokrat tertentu dan diperkenankan oleh YDPA,” katanya kepada Malaysiakini.
Jelasnya, tujuan tersebut bukan sahaja untuk menangani Covid-19, tetapi juga untuk menumpukan pemulihan ekonomi dan sosial sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) akan datang.
Ini katanya, memandangkan persediaan PRU dalam norma baru perlu dilakukan secara menyeluruh.
“Bermakna cadangan PM interim ini munasabah bagi pastikan pemilihan ini neutral.
“Maka perlu ada perjanjian sah bahawa sesiapa memegang interim ini tak akan dicalonkan sebagai perdana menteri pada masa akan datang bagi elak kepentingan peribadi ketika jadi perdana menteri interim,” katanya.
Sebelum ini, Istana Negara mengeluarkan kenyataan bagi memaklumkan rasa amat dukacita Agong terhadap cara ordinan darurat dibatalkan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Menurut kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Ahmad Fadil Shamsuddin, Agong juga amat kecewa apabila ordinan darurat itu tidak dibentang dan dibahaskan seperti dipersetujui Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Idrus Harun di hadapan baginda pada 24 Julai lalu.
Sultan Ahmad Shah juga amat dukacita apabila Takiyuddin mengelirukan Dewan Rakyat dengan kenyataan dibuatnya semasa sidang khas berlangsung.
Bagaimanapun, PN mempertahankan tindakan mereka membatalkan ordinan darurat adalah teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang serta perlembagaan negara.
Menurut kenyataan PMO, kerajaan sudah menasihatkan Agong untuk membatalkan ordinan darurat sebelum sidang khas parlimen pada 26 Julai lalu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai