Skip to main
Logo Malaysiakini

Syarikat penyedia video TV Pendidikan dakwa kandungan sudah dihantar pada KPM

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sebuah syarikat yang mendapat kontrak menyediakan 800 kandungan video TV Pendidikan menafikan dakwaan bekas menteri pendidikan Dr Maszlee Malik bahawa syarikat tersebut gagal menyiapkannya kandungan video sebelum tarikh tamat projek.

Pengarah Urusan syarikat Radius One Sdn Bhd, Fazli Baharom berkata bahawa kesemua video telah disiapkan dan dihantar kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum 30 Mac.

"Radius One telah siapkan 800 video tersebut dan dihantar ke KPM sebelum 30 Mac 2021 yang lalu.

"Saya tiada sebarang komen kerana pihak kami telah menyelesaikan amanah yang diberikan mengikut ketetapan," katanya kepada Malaysiakini.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media yang memetik Maszlee meminta penjelasan KPM status terkini 800 kandungan video untuk TV Pendidikan.

Maszlee pada 29 Julai di parlimen mendakwa bahawa syarikat tersebut gagal menyiapkannya meskipun lanjutan masa telah diberikan kerajaan kepada Radius One dari 30 Nov 2020, hingga 31 Mac, tahun ini.

"Dalam jawapannya, Menteri Kanan Pendidikan (Dr Radzi Jidin) telah mengatakan tarikh tamat projek itu dilanjutkan kepada 31 Mac 2021 berikutan kegagalan syarikat berkenaan menyiapkannya dalam tempoh tersebut.

"Kini setelah hampir empat bulan berlalu, umum perlu diberikan penjelasan telus berkaitan pembekalan kandungan video pendidikan ini kerana ia melibatkan duit pembayar cukai,” lapor Astro Awani memetik Maszlee.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu juga berkata, kontrak yang ditawarkan kepada syarikat berkenaan bernilai RM1.9 juta.

Selain itu, Maszlee juga meminta perincian termasuk jumlah rancangan daripada 800 kandungan yang telah disiarkan.

“Jika ia disiarkan, bagaimana guru-guru dan murid-murid hendak menonton semula rancangan tersebut, untuk digunakan sepanjang PdPR bagi tujuan rujukan," soalnya.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi KPM untuk mendapatkan ulasan.