Skip to main
Logo Malaysiakini

MHC: Keputusan tangguh sidang parlimen mesti bebas dari faktor politik

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sebarang keputusan menangguhkan sidang parlimen mesti mengambil kira aspek sains dan kesihatan awam tanpa dipengaruhi kepentingan politik, kata Gabungan Kesihatan Malaysia (MHC).

Menurut MHC semasa negara mendepani Covid-19, demokrasi berparlimen yang berfungsi sangat diperlukan dan dianggap sebagai "perkhidmatan penting" bagi membolehkan penelitian awam, penggubalan undang-undang dan perbahasan mengenai cara memerangi pandemik itu dapat dilakukan.

“Kita memerlukan keyakinan untuk memberikan penjagaan kesihatan yang berkesan kepada semua rakyat Malaysia.

"Keyakinan itu dapat dibangunkan apabila keputusan dibuat secara konsisten dan ketika Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pemimpinnya dan semua profesional kesihatan bebas daripada pengaruh politik kepartian.

"Sains dan kesihatan awam mestilah terhindar daripada sebarang unsur politik untuk memelihara kepercayaan rakyat," kata MHC dalam kenyataan hari ini.

Semalam Dewan Rakyat memaklumkan sidang khas yang sepatutnya bersambung esok telah ditangguhkan ke tarikh yang belum ditetapkan selepas diputuskan begitu oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin dalam surat pemakluman mengenai penangguhan berkenaan berkata perdana menteri membuat ketetapan berkenaan selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11(3), Peraturan-peratusan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat. 

Sepatutnya sidang khas parlimen - yang dibuat selepas mendapat desakan daripada Yang di-Pertuan Agong serta Raja-raja Melayu - berlangsung selama lima hari.

Ada cara untuk kekal selamat

Ia sudah diadakan selama empat hari mulai 26 Julai lalu dan dijadual berlangsung untuk hari terakhir esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan dijadual menjawab persoalan ahli parlimen kedua-dua blok mengenai keabsahan pembatalan ordinan darurat yang dibuat kerajaan Perikatan Nasional seperti dimaklumkan pada hari pertama sidang tersebut.

Istana Negara pada 29 Julai mengeluarkan kenyataan bagi menzahirkan rasa "amat dukacita" Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenaan pembatalan tersebut kerana ia belum mendapat perkenan baginda.

Agong juga menyatakan rasa "amat dukacita" apabila Takiyuddin sudah mengelirukan Dewan Rakyat melalui kenyataan yang dibuatnya. 

Ahli parlimen sebelum itu mendesak Takiyuddin untuk berterus terang namun Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun memutuskan agar setiausaha agung PAS itu memberikan jawapan pada 2 Ogos.

Ancaman penularan wabak Covid-19 menjadi alasan kepada keputusan kerajaan menangguhkan sidang esok. Ia juga dikatakan selaras dengan nasihat yang diberikan KKM.

Menurut MHC kedudukan parlimen adalah sangat penting, justeru ia boleh saja dianggap sebagai "tempat kerja" dan - seperti pejabat, bank dan kilang - boleh dibuka sesuai dengan semangat Pelan Pemulihan Nasional (PPN).

"Oleh itu, parlimen dapat berfungsi dengan selamat jika mengikuti SOP tempat kerja yang disarankan oleh KKM, Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan," katanya.

MHC juga menegaskan hampir semua ahli parlimen sudah divaksin dan setiap kemasukan ke parlimen tertakluk kepada ujian saringan Covid-19.

Langkah yang diambil itu, kata mereka, sudah memberikan perlindungan untuk ahli parlimen menghadiri sidang dan langkah pencegahan tambahan boleh diambil seperti meneruskan sidang secara maya atau hibrid serta memberikan vaksin kepada semua kakitangan parlimen secepat mungkin.