MP pertikai 'alasan tak munasabah' tangguh sidang khas
Ahli Parlimen pembangkang mengkritik apa yang mereka sifatkan sebagai alasan "tidak munasabah" yang digunakan oleh kerajaan untuk menangguhkan persidangan parlimen khas.
Ini selepas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam menangguhkan persidangan ke tarikh yang tidak ditentukan, dengan alasan penularan kes Covid-19 di Dewan Rakyat.
"Saya mengutuk sekeras kerasnya tindakan penangguhan persidangan ini yang dibuat diatas alasan yang amat tidak munasabah," kata Ahli Parlimen Upko Wilfred Madius Tangau.
Penangguhan sidang khas itu juga berlaku ketika timbul krisis perlembagaan setelah kerajaan tidak mematuhi gesaan Yang Di-Pertuan Agong agar ordinan darurat dibahaskan di Parlimen.
Sebaliknya, kerajaan secara sepihak membatalkan ordinan darurat tanpa perkenan Agong.
Putrajaya dilihat cuba mengelak undian di Dewan Rakyat kerana tidak yakin dengan majoriti yang dipegang.
Wilfred mengatakan walaupun dengan penggantungan Parlimen, kedudukan Muhyiddin masih tidak terjamin sekiranya lebih banyak ahli parlimen Umno beralih sokongan.
Dia turut menyorot bahawa Ahli Parlimen Umno Gua Musang Tengku Razaleigh Tengku Hamzah telah menukar tempat duduk ke bangku pembangkang di Parlimen.
Namun, katanya, kerajaan apa pun yang berjaya menggantikan kerajaan Perikatan Nasional mesti membuat perjanjian keyakinan dan bekalan dengan pembangkang untuk memastikan kestabilan politik di tengah pandemik Covid-19.
Dia juga meminta penubuhan lebih banyak jawatankuasa pemilihan khas parlimen untuk membolehkan ahli parlimen memainkan peranan yang lebih besar dalam memberikan pengawasan terhadap kerajaan dan juga sebuah jawatankuasa perundingan antara kerajaan untuk meningkatkan penyelarasan antara negeri dan kerajaan pusat.
Selain itu, tambahnya, badan masyarakat sivil juga harus terlibat dalam penggubalan dasar awam.
'Tidak berdasarkan sains'
Sementara itu, Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii berkata, penangguhan parlimen adalah berdasarkan politik dan bukannya sains.
"Ini tidak masuk akal. 11 orang diuji positif daripada 1,183 sampel yang diambil. 0.9 orang secara keseluruhan. Ini adalah keputusan yang tidak berdasarkan sains.
"Pertubuhan Kesihatan Dunia mengesyorkan (tidak lebih dari) kadar positif lima peratus untuk mengukur bahawa pandemik terkawal dan ketika kita membandingkannya dengan 0.9 peratus di Parlimen, tidak ada alasan untuk mendakwa ada penularan wabak," katanya..
Parlimen telah digantung sejak 11 Januari berikutan pengisytiharan darurat.
Kerajaan bersetuju untuk mengadakan sidang Parlimen khas pada 26 Julai berikutan tekanan dari Yang Di-Pertuan Agong.
Esok sepatutnya menjadi hari terakhir persidangan khas.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai