Skip to main
Logo Malaysiakini

Perpaduan akar umbi Umno dan MCA masih kuat, kata Zahid

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sejurus selepas seorang pemimpin Umno mengulang penegasannya bahawa semua ahli parlimen BN menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri, Ahmad Zahid Hamidi membuat kenyataan bagi mengimbanginya.

Memetik laporan berita, presiden Umno itu memberitahu walaupun wujud perbezaan pendapat dalam parti, di peringkat akar umbi perpaduan semasa mereka kekal utuh.

Malah kata Ahmad Zahid perpaduan itu mesti dipertahankan di sebalik perbezaan yang berlalu.

Katanya juga kewujudan perbezaan pandangan itu tidak harus dilihat sebagai kelemahan sebaliknya bukti kekuatan BN.

"Selepas lebih 63 tahun merdeka, perpaduan akar umbi parti komponen BN, Umno dengan MCA, masih kuat," katanya di media sosial.

Laporan yang dilampirkan Ahmad Zahid itu menyatakan Pemuda MCA Perak berharap Muhyiddin segera berundur bagi membolehkan orang lain yang lebih layak menjadi ketua bagi membawa negara mengekang penularan Covid-19.

Menurut Daniel Wa Wai How yang dipetik Sinar Online, Pemuda MCA Perak berpendapat presiden Bersatu itu tidak boleh terus membiarkan negara berada dalam keadaan parah.

Daniel Wa

Wa yang juga setiausaha Pemuda MCA kebangsaan berkata ketika ini hala tuju negara dilihat tidak jelas kerana kemelut politik menghakis keberkesanan pentadbiran kerajaan.

Terdahulu di Bera, Pahang, Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob berkata semua 40 ahli parlimen BN sepakat memberikan sokongan kepada Muhyiddin seperti yang dinyatakannya dalam suatu kenyataan sebelum ini.

Untuk rekod sejurus selepas kenyataan berkenaan sokongan itu dibuat, Setiausaha Eksekutif BN Mohamad Shafri Ab Aziz menegaskan surat itu "palsu".

Ismail Sabri hari ini memberitahu, isu yang timbul ekoran kenyataan dibuatnya hanya berhubung penggunaan kepala surat BN, bukannya kandungan yang dikemukakan.

Umno baru-baru ini membuat keputusan untuk menarik balik sokongan mereka kepada Muhyiddin namun kekal menyokong Perikatan Nasional (PN). Bagaimanapun setakat ini belum ada mana-mana ahli parlimen BN melepaskan jawatan masing-masing dalam kerajaan.

Pada 31 Julai lalu MCA dan MIC sudah menyatakan sokongan mereka kepada Muhyiddin dan kabinetnya untuk terus memimpin negara melalui kenyataan bersama yang dikeluarkan ketua-ketua penerangan parti terbabit. 

"BN Umno dan MCA dulu, kini dan selamanya. Perpaduan BN harus dipertahankan," kata Ahmad Zahid.